Calon presiden dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Joko Widodo atau Jokowi mengakui bahawa tugas sebagai Presiden Indonesia adalah sesuatu yang sangat berat.

"Jadi seorang presiden bukan mudah. Sebab itu saya tidak menyambutnya dengan sukacita sebab itu (sebagai presiden) tugas yang maha berat. Tetapi saya yakin dengan sokongan rakyat saya mampu melaksanakannya," kata Jokowi di hadapan ratusan penyokong PDI-P di Sukabumi, pada Khamis.

Pada masa ini, nama Jokowi yang juga Gabenor Jakarta, disebut-sebut bakal mengambil alih kepimpinan kerajaan Indonesia pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden 2014.

Jokowi berkata memandangkan rakyat Indonesia kini mahukan perubahan menyebabkan beliau memilih mendekati rakyat dengan hati yang tulus berbanding berkempen dengan dana yang besar.

"Saya tidak mampu memberi apa-apa berupa kebendaan kerana saya hanya ada kemampuan (berkhidmat). Mungkin yang lain (calon presiden lain) sudah menyiapkan wang triliunan rupiah, sudah pasang iklan setiap malam di televisyen. Kita (PDI-P) sampai sekarang belum (tiada iklan kempen politik)," katanya.

Jokowi

Jokowi, bagaimanapun yakin dengan semangat yang ditunjukkan sukarelawan dan penyokong PDI-P, beliau mampu memenangi jawatan Presiden Indonesia yang bakal diadakan 9 Julai depan.

"Jangan bayangkan Jokowi itu gagah. Saya begini sahaja, tiada wang," katanya.

Jokowi, yang mengumumkan bertanding kerusi Presiden Indonesia atas tiket PDI-P pada 14 Mac lepas, berkata majlis pengumumannya itu dilakukan secara sederhana tanpa ditemani tokoh-tokoh pemimpin hebat Indonesia.

"Hanya ada saya dan bendera Merah Putih (bendera Indonesia). Ini kerana saya percaya gabungan kita adalah gabungan rakyat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Jokowi berkata adalah penting bagi PDI-P memenangi banyak kerusi pada Pemilu Parlimen 2014, bulan depan.

"Sia-sia sahaja jadi presiden tetapi di dewan (parlimen) suaranya kecil. Akan berat mengelola negara sebesar ini dengan (kerusi) parlimen kecil," katanya.