Tujuh rakyat Korea Selatan masih belum ditemui pada Jumaat pagi, beberapa jam selepas sebuah helikopter yang mereka naiki terhempas di perairan berhampiran kepulauan kecil Dokdo di Laut Timur, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan perkhidmatan bomba tempatan.

Helikopter itu berlepas dari Dokdo pada pukul 11.26 malam Khamis sebelum terjunam ke dalam air. Seorang individu yang cedera dari sebuah bot nelayan, seorang rakannya dan lima anggota penyelamat dilaporkan berada dalam helikopter itu.

Berpuluh-puluh kapal tentera laut, helikopter dan bot nelayan di kawasan itu telah menyertai operasi mencari yang gagal membuahkan sebarang hasil sehingga pukul 8 pagi, menurut seorang pegawai.

Para pegawai berkata mereka merancang untuk memperluas kawasan pencarian dan telah menggerakkan 12 penyelam laut dalam ke lokasi nahas.

"Operasi mencari dijalankan semalaman namun tiada banyak perkembangan. Memandangkan pasang surut air telah melemah dan hari sudah siang, kami akan meluaskan kawasan pencarian dengan penyelam turut menyertai operasi menyelamat," kata seorang pegawai.

Perdana Menteri Lee Nak Yon telah mengarahkan kementerian berkaitan untuk melakukan sepenuh usaha bagi menyelamatkan mangsa dan mencari penumpang yang hilang.

Helikopter yang hilang itu ialah dari jenis EC 225, keluaran Airbus Helicopters yang berpangkalan di Perancis, dahulu dikenali sebagai Kumpulan Eurocopter, yang boleh membawa sehingga 28 penumpang dan terbang pada kelajuan 250 kilometer sejam selama lima jam.

-- BERNAMA