ROM: Pasukan mencari dan menyelamat Itali menemui mayat tujuh penumpang sebuah helikopter yang terhempas di kawasan pergunungan Wilayah Modena pada Sabtu.

Helikopter yang membawa tujuh penumpang termasuk empat warga Turki sedang menuju ke Treviso dari Tuscany apabila ia dilaporkan hilang daripada radar akibat cuaca buruk sejak Khamis.

"Anggota mencari dan menyelamat menemui mayat tujuh penumpang helikopter terbabit di mana empat daripadanya warga Turki dan dua warga Lebanon.

"Kesemua mereka dalam perjalanan ke Treviso atas urusan bisnes. Mayat juruterbang warga Itali turut ditemui," kata Pejabat Pihak Berkuasa Tempatan Modena dalam satu kenyataan.

Bangkai helikopter terbabit ditemui di kawasan pergunungan antara Tuscany dan Wilayah Emilia Romagna, tambah kenyataan itu.

Pihak berkuasa telah mengepung kawasan tersebut dan siasatan terperinci berkenaan nahas itu sedang dijalankan.

"Setelah tiba di kawasan nahas, kami mendapati helikopter itu telah terbakar sepenuhnya," kata seorang anggota mencari dan menyelamat dalam video yang dimuat naik di akaun Twitter Angkatan Tentera Udara Itali.

Helikopter AW119 Koala keluaran Leonardo LDOF.MI itu dimiliki syarikat pengangkutan dan kawal selia aeronautik, Avio Helicopters yang berpangkalan di Thiene, menurut laporan Reuters.

Sehingga kini Avio Helicopters belum keluarkan sebarang kenyataan berkenaan nahas itu.