CORDOBA: Penemuan tulang kaki gajah oleh ahli arkeologi di selatan Sepanyol mungkin menjadi bukti pertama bahawa rombongan gajah perang pernah melalui Eropah, seperti yang dikaitkan dengan jeneral Carthage terkenal, Hannibal.
Selama ini, kisah gajah perang Hannibal yang menentang Rom hanya disokong lukisan dan catatan sejarah tanpa bukti fizikal.
Advertisement
Namun, tulang berukuran kira‑kira 10 sentimeter itu ditemui di tapak Zaman Besi dekat Cordoba, menjadikan penemuan ini luar biasa kerana rangka gajah jarang ditemui di Eropah.
Hannibal, salah seorang komander paling berpengaruh dalam sejarah klasik, dipercayai membawa tenteranya, termasuk 37 ekor gajah, dari Carthage melalui Sepanyol dan Perancis sebelum merentas Alps untuk menyerang Itali pada tahun 218 SM ketika Perang Punic Kedua.
Penyelidik menganggarkan tulang tersebut berasal daripada seekor gajah yang mati sebelum kumpulan itu tiba di Alps.
Ia ditemui di bawah dinding runtuh di tapak Colina de los Quemados, bersama artifak lain seperti peluru senjata, syiling dan seramik, yang menyokong kewujudan pertempuran di kawasan itu.
Para saintis menggunakan pentarikhan karbon sebelum membandingkan tulang itu dengan spesies gajah moden dan mamot steppe.
Mereka juga menolak kemungkinan tulang itu dibawa selepas kematian kerana ia tidak sesuai dijadikan hiasan atau kraftangan.
Walaupun tulang ini bukan daripada gajah legenda yang merentas Alps, para penyelidik percaya ia mungkin menjadi relik pertama yang berkaitan secara langsung dengan gajah perang dalam konflik Punic, penemuan yang lama menjadi buruan ahli akademik Eropah.