Kumpulan pembela hak asasi manusia pada Ahad telah mengadakan bantahan berikutan kejadian rogol kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di timur Bandar Lahore.

Bagaimanapun kanak-kanak tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Polis sehingga kini masih belum mendapat petunjuk yang jelas tentang kejadian itu selain menahan beberapa suspek.

Menurut pegawai penguatkuasa undang-undang, kebanyakan mereka yang ditahan bagaimanapun telah dibebaskan selepas disoal siasat.

Menurut polis, kanak-kanak tersebut ditemui di luar hospital Lahore kira-kira jam 8.00 malam pada hari Jumaat, iaiui sehari selepas dia dilaporkan hilang.

“Keadaannya agak stabil, tetapi masih di unit penjagaan rapi,” kata seorang pegawai perubatan, Dr Farzand Ali kepada AFP.

Sementara itu seorang pegawai kanan polis, Zulfiqar Hameed pula memberitahu bahawa polis telah menyoal siasat beberapa suspek tetapi masih belum membuat penangkapan.

Pihak perubatan pula telah memaklumkan bahawa kanak-kanak itu dirogol beberapa kali.

Kumpulan yang mengadakan bantahan seluruh Pakistan itu turut menggesa pihak berkuasa segera menangkap pesalah-pesalah yang terbabit.

Kemarahan meluas menguasai media sosial sejurus saluran TV swasta menyiarkan laporan mengenainya.

Jenayah rogol sememangnya sukar untuk dibuktikan di Pakistan, di mana wanita negara itu sering dilayan seperti warga kelas kedua.