Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kejadian serangan bom di Lahore, Pakistan pada Ahad yang mengakibatkan 70 kematian selain 150 kecederaan.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad akan terus memantau situasi itu dari semasa ke semasa.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom berkenaan. Kerajaan turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Islam Pakistan serta keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut.

"Kerajaan menganggap serangan terbaharu ini sebagai satu tindakan keganasan dan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan," jelas kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 69 orang, termasuk sejumlah besar wanita dan kanak-kanak, maut manakala lebih 300 orang lagi cedera apabila pengebom bunuh diri menyerang taman awam di bandar Lahore, timur Pakistan, pada petang Ahad.

Menurut laporan agensi berita Xinhua sebelum ini, serpihan kumpulan Taliban Pakistan telah mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Lahore.

Najib turut menyifatkan penyerang terbabit sebagai seorang pengecut apabila mensasarkan kanak-kanak dan kaum wanita.