WASHINGTON: Dos pertama ubat yang dibangunkan oleh kecerdasan buatan (AI) telah diserahkan kepada pesakit pertamanya.

Insilico Medicine, sebuah syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Hong Kong mengumumkan bahawa pesakit manusia mula menerima ubat INS018_055, perencat molekul kecil antifibrosis.

Menurut syarikat itu, ubat tersebut ditemukan dan direka bentuk dengan AI generatif, lapor United Press International (UPI).

Ubat itu melalui dua fasa ujian sebelum diberikan kepada pesakit.

"Dengan potensi yang ditunjukkan terhadap kedua-dua fibrosis dan keradangan, INS018_055 boleh menawarkan pilihan lain untuk pesakit di seluruh dunia," kata ketua pegawai eksekutif bersama dan ketua pegawai saintifik Insilico Medicine, Feng Ren dalam satu kenyataan.

Ubat antifibrosis digunakan untuk menghalang pembentukan jumlah tisu berserabut yang tidak normal yang mungkin tumbuh di dalam organ.

INS018_055 sedang diuji untuk merawat fibrosis pulmonari idiopatik, penyakit paru-paru kronik. Kira-kira 5 juta orang terjejas oleh penyakit itu.

Ubat itu direka oleh Pharma.AI dan dibangunkan sejak 2020.

Ubat berkenaan juga sedang dikaji di bawah percubaan rawak, gelap ganda (double-blind), plasebo terkawal dan diberikan secara oral kepada pesakit untuk tempoh 12 minggu.

Syarikat itu berhasrat untuk mendaftar 60 subjek dengan fibrosis pulmonari idiopatik bagi menguji ubatan di 40 lokasi di Amerika Syarikat dan China.

-- BERNAMA