DUNIA
UK, Australia, dan Kanada mengiktiraf negara Palestin

Tiga negara iaitu United Kingdom, Australia dan Kanada, secara rasmi mengiktiraf Palestin.
UNITED KINGDOM, Australia, dan Kanada secara rasmi mengiktiraf negara Palestin - suatu langkah bersejarah yang dilihat sebagai usaha menghidupkan kembali harapan kepada keamanan dan penyelesaian dua negara di Asia Barat.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, melalui hantaran video di Facebook berkata, pengiktirafan itu bermaksud memastikan Israel yang selamat wujud seiring dengan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, sesuatu yang pada ketika ini masih belum tercapai.
“Hari ini, demi menghidupkan semula harapan kepada keamanan dan penyelesaian dua negara, saya nyatakan dengan jelas sebagai Perdana Menteri negara besar ini bahawa United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin,” katanya.
Starmer turut menegaskan pengiktirafan itu tidak memberi sebarang legitimasi kepada Hamas, sebaliknya menolak visi kebencian kumpulan tersebut yang menurutnya tiada masa depan dalam kerajaan mahupun keselamatan Palestin.Beliau pada masa sama menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai sesuatu yang “buatan manusia” akibat pengeboman berterusan Israel, kebuluran, serta kemusnahan yang telah meragut puluhan ribu nyawa.
United Kingdom yang mengiktiraf Israel lebih 75 tahun lalu, kini bergabung dengan lebih 150 negara lain yang turut mengiktiraf Palestin.
“Saya berikrar kepada rakyat Palestin dan Israel bahawa masa depan yang lebih baik itu wujud. Pembebasan tebusan, penghentian keganasan, pengakhiran penderitaan, dan kembali kepada penyelesaian dua negara adalah harapan terbaik bagi keamanan dan keselamatan untuk semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu negara Australia dan Kanada menyertai beberapa negara lain yang bertujuan menghidupkan semula momentum bagi penyelesaian dua negara.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mengumumkan pengiktirafan itu melalui platform media sosial X, menyatakan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.
Manakala Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut menyuarakan perkara yang sama di X dengan menulis, “Hari ini, Kanada mengiktiraf negara Palestin.”
Israel menolak pengiktirafan tersebut sebagai tidak relevan, dengan beberapa menteri kerajaan menegaskan ia tidak akan mengubah realiti di lapangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami