Skip to main content

Dunia

UK catat 2,800 kematian akibat gelombang haba Mei, Jun

A woman uses an umbrella to shield herself from the sun as she walks on Westminster Bridge, near the Houses of Parliament, amid hot weather in London, Britain, June 23, 2026. REUTERS/Guglielmo Mangiapane
Gelombang haba pada Jun berlanjutan selama lapan hari dan mencetuskan amaran kesihatan akibat haba tahap merah, iaitu kali kedua amaran pada tahap tertinggi dikeluarkan di England, mencerminkan suhu luar biasa yang direkodkan. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

LONDON: Britain merekodkan 2,877 kematian sepanjang gelombang haba pada Mei dan Jun, hampir dua kali ganda berbanding 1,504 kematian  yang dicatatkan sepanjang musim panas 2025, menurut agensi keselamatan kesihatan negara itu pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam penilaian awalnya, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) menganggarkan sebanyak 2,877 kematian berkaitan haba berlaku sepanjang dua tempoh cuaca panas yang ketara pada Mei dan Jun 2026, hampir dua kali ganda berbanding jumlah yang direkodkan bagi keseluruhan 2025.

Dianggarkan 753 kematian dikaitkan dengan episod cuaca panas antara 24 hingga 27 Mei, manakala 2,124 lagi dikaitkan dengan gelombang haba yang melanda antara 21 hingga 28 Jun.

"Walaupun angka ini masih bersifat sementara, ia kini hampir menyamai rekod tahunan yang dilaporkan UKHSA pada 2022," menurut laporan itu.

Menurut laporan berkenaan, gelombang haba pada Jun berlanjutan selama lapan hari dan mencetuskan amaran kesihatan akibat haba tahap merah, iaitu kali kedua amaran pada tahap tertinggi dikeluarkan di England, mencerminkan suhu luar biasa yang direkodkan.

Menurut agensi itu, kedua-dua bulan Mei dan Jun turut mencatat rekod suhu bulanan tertinggi bagi England menurut Met Office, dengan suhu 31.5 darjah Celsius direkodkan di Kew Gardens pada 26 Mei dan 37.7 darjah Celsius di Lingwood, Norfolk pada 26 Jun.

"Penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya sistem amaran kesihatan akibat haba yang dilaksanakan bersama Met Office, yang memberikan amaran awal apabila suhu dijangka memberi kesan ketara terhadap keihatan dan kesejahteraan," menurut agensi itu.

"Berdasarkan data sementara, 2026 berkemungkinan mencatat jumlah kematian berkaitan haba tertinggi dalam rekod, mengatasi 2,985 kematian yang direkodkan pada 2022," menurut laporan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU 

Must Watch Video

Advertisement