DUNIA
UK, Jordan koordinasi penghantaran bantuan udara ke Gaza, desakan iktiraf Palestin meningkat

Starmer berkata Britain sedang "mempercepatkan usaha" untuk membawa keluar kanak-kanak Gaza yang memerlukan rawatan perubatan kritikal ke UK. - AP
LONDON: Britain bekerjasama dengan Jordan untuk menghantar bantuan kecemasan ke Gaza melalui udara, ketika Perdana Menteri Keir Starmer berdepan tekanan yang semakin meningkat supaya mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
Pasukan perancang dan logistik tentera Britain telah dihantar untuk membantu Jordan melaksanakan misi penghantaran bantuan udara ke wilayah yang dikepung itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan BBC pada Sabtu.
Langkah ini diambil susulan keputusan Israel yang membenarkan negara asing melaksanakan penghantaran bantuan melalui udara, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap konflik di Gaza yang kini memasuki tahun kedua.
Starmer berkata Britain sedang "mempercepatkan usaha" untuk membawa keluar kanak-kanak Gaza yang memerlukan rawatan perubatan kritikal ke UK.Pengumuman itu dibuat ketika desakan agar London mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara semakin mendapat perhatian.
Pada Jumaat, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata negaranya akan berbuat demikian dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Seramai 220 ahli parlimen daripada sembilan parti politik - lebih separuh daripada mereka mewakili Parti Buruh pimpinan Starmer - menandatangani surat yang menggesa kerajaan supaya mengiktiraf negara Palestin secara rasmi.
Gesaan antarabangsa untuk mengiktiraf Palestin terus meraih momentum sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak 1988, sebanyak 81 negara telah mengiktiraf Palestin, dengan lebih banyak menyusul kemudian termasuk Afrika Selatan (1995), Brazil (2010), Chile (2011) dan Thailand (2012).
Sepanyol dan Ireland mengumumkan pengiktirafan pada 2024, diikuti Mexico pada 2025, manakala Perancis dijangka akan menyertainya tidak lama lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami