LONDON: United Kingdom (UK) mengumumkan sekatan baharu terhadap penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mencetuskan reaksi keras daripada Israel yang menuduh London bersikap bermusuhan terhadap negara itu.
Menteri Luar Britain, Ed Miliband berkata, tindakan tersebut menandakan "permulaan pendekatan baharu" terhadap konflik Israel-Palestin yang bukan sahaja mengutuk ketidakadilan dan penderitaan, malah disusuli tindakan konkrit.
Sebagai tindak balas, Menteri Luar Israel, Gideon Saar menuduh Miliband menyebarkan "pembohongan keterlaluan" dan mengumumkan beberapa langkah balas, termasuk menutup konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur.
Sekatan yang dikenakan UK merangkumi larangan terhadap barangan dari penempatan haram Israel serta tindakan terhadap syarikat dan individu yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan bagi memperluaskan penempatan tersebut.
Langkah itu dilaksanakan bersama Perancis dan Kanada.
Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga negara menegaskan, tindakan berkenaan merupakan "titik perubahan baharu" dalam usaha mempertahankan penyelesaian dua negara.
Penempatan Israel di Tebing Barat dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, keganasan oleh peneroka Yahudi terhadap rakyat Palestin di wilayah itu turut dilaporkan meningkat.
Ketika berucap di Parlimen, Miliband berkata, kerajaan Britain bersetuju bahawa berlaku "pembersihan etnik" terhadap rakyat Palestin di beberapa kawasan Tebing Barat yang dilakukan oleh peneroka radikal.
"Dalam banyak keadaan, kerajaan Israel hanya menutup mata terhadap perkara ini dan lebih buruk lagi, ada anggota kerajaan yang mengeluarkan kenyataan serta mengambil tindakan yang menyokong pemindahan paksa rakyat Palestin," katanya.
Menurut Miliband, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan pembersihan etnik sebagai dasar yang disengajakan oleh satu kumpulan etnik atau agama untuk menyingkirkan kumpulan lain dari sesuatu kawasan melalui keganasan.
Beliau turut menegaskan, pendudukan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah dari sudut undang-undang kerana pengukuhan kawalan, hasrat memperluaskan kedaulatan secara kekal serta agenda peluasan melalui penempatan haram.
Katanya, pendirian itu selaras dengan pandangan penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2024 dan seharusnya tercermin dalam hubungan ekonomi Britain dengan wilayah yang diduduki tersebut.
Sehubungan itu, UK akan memperkenalkan rejim sekatan komprehensif baharu dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.
Miliband turut mengumumkan larangan pengiklanan penempatan haram Tebing Barat di UK.
"Rejim sekatan ini menyasarkan penempatan haram dan peluasan penempatan, bukan negara Israel," katanya.
Perdana Menteri Britain, Andy Burnham kemudian menegaskan, langkah berkenaan tidak ditujukan kepada rakyat Israel, sebaliknya, bagi mempertahankan penyelesaian dua negara.
Sementara itu, Saar berkata, langkah menutup konsulat Britain yang mewakili kerajaan UK di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza dibuat kerana kerajaan Buruh Britain didakwanya mengambil pendirian yang konsisten menentang Israel.
"Kami tahu ramai sahabat Israel berada di Britain. Malangnya, kerajaan Buruh yang bermusuhan terhadap Israel menyebabkan kami tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas," katanya.
Beliau turut mengumumkan larangan kemasukan ke Israel terhadap 11 Ahli Parlimen Britain termasuk Jeremy Corbyn, Diane Abbott dan lima wakil Parti Hijau atas dakwaan terlibat dalam aktiviti anti-Israel dan anti-Semitik.
Dalam perkembangan berkaitan, UK bersama 11 negara lain termasuk Perancis, Kanada, Denmark, Sepanyol, Finland, Ireland, Iceland, Norway, Poland, Portugal dan Sweden mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen mereka terhadap penyelesaian dua negara.
Mereka turut menyatakan hasrat melaksanakan langkah kebangsaan atau menyokong sekatan Eropah terhadap perdagangan barangan dari penempatan Israel di Tebing Barat.
Pengumuman London dibuat selepas Israel membuka tender pembinaan kira-kira 1,200 unit rumah baharu di kawasan E1, sebuah lokasi strategik di timur Baitulmaqdis yang sekian lama mendapat bantahan masyarakat antarabangsa. - Agensi