Skip to main content

Dunia

UK kerah kapal perang bagi misi keselamatan di Selat Hormuz

Vessels in the Strait of Hormuz near Bandar Abbas, Iran, May 4, 2026./ Reuters
Ketegangan serantau semakin memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk selain penutupan Selat Hormuz. - Foto REUTERS

ISTANBUL: United Kingdom (UK) mengerahkan sebuah kapal perang Tentera Laut Diraja ke Asia Barat sebagai persediaan bagi kemungkinan misi multinasional untuk melindungi perkapalan komersial di Selat Hormuz, menurut Kementerian Pertahanan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi.

HMS Dragon, kapal pemusnah Type 45 yang sebelum ini ditempatkan di Mediterranean timur berhampiran Cyprus, akan ditempatkan lebih awal di rantau itu dan bersedia menyertai inisiatif maritim yang diterajui UK dan Perancis sebaik keadaan mengizinkan, menurut beberapa media UK yang memetik jurucakap kementerian itu.

Misi yang dicadangkan itu, disokong Perdana Menteri Keir Starmer dan Presiden Perancis Emmanuel Macron, bertujuan memastikan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.

“Kami boleh mengesahkan bahawa HMS Dragon akan dikerahkan ke Asia Barat untuk penempatan awal menjelang sebarang misi multinasional pada masa depan bagi melindungi perkapalan antarabangsa apabila keadaan mengizinkan kapal itu melalui Selat Hormuz,” kata jurucakap itu.

“Penempatan awal HMS Dragon adalah sebahagian daripada perancangan berhemat bagi memastikan UK bersedia, sebagai sebahagian daripada gabungan multinasional yang diterajui bersama oleh UK dan Perancis, untuk menjamin keselamatan selat itu apabila keadaan mengizinkan.”

Ketegangan serantau semakin memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden Donald Trump tanpa menetapkan tempoh akhir, sekali gus membuka ruang kepada diplomasi bagi penyelesaian kekal terhadap konflik itu.

Sejak 13 April, AS melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan perairan itu. Trump pada Selasa mengumumkan bahawa tentera AS akan menghentikan sementara “Project Freedom” bagi memulihkan kebebasan pelayaran untuk perkapalan komersial melalui Selat Hormuz, sambil menegaskan sekatan AS akan terus “dikuatkuasakan sepenuhnya”.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video