Ukraine, Rusia adakan rundingan langsung pertama mengenai pelan damai baharu AS

Zelenskyy (kiri) mengakui, isu Donbas kekal “perkara paling utama” dalam perbincangan damai sementara Putin menegaskan, permintaan Rusia ialah tentera Ukraine berundur dari keseluruhan kawasan Donbas “masih menjadi syarat utama.”
ABU DHABI: Wakil Ukraine, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan di Abu Dhabi dalam pertemuan tiga hala pertama sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine hampir empat tahun lalu.
Rundingan itu berkisar kepada pelan damai yang dibawa Presiden AS, Donald Trump - pelan yang pada mulanya dikritik Kyiv dan negara Barat kerana dianggap terlalu memihak kepada Rusia, sebelum diperbaharui dengan cadangan penempatan pasukan pengaman Eropah yang kemudian ditolak pula oleh Moscow.
Menjelang rundingan, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menegaskan, isu wilayah kekal perkara paling kritikal, susulan pendirian Rusia yang tidak berganjak daripada tuntutan agar tentera Ukraine menarik diri sepenuhnya dari wilayah Donbas di timur.
Selepas hari pertama rundingan, ketua perunding Ukraine, Rustem Umerov berkata, perbincangan tertumpu kepada “parameter menamatkan perang Rusia serta hala tuju proses rundingan.”
Sesi sambungan dijadualkan berlangsung pada Sabtu.
Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, rundingan akan berlangsung selama dua hari sebagai sebahagian usaha diplomatik untuk mencari penyelesaian politik terhadap krisis tersebut.
Trump bertemu Zelenskyy, AS adakan pertemuan dengan Putin
Rundingan itu berlangsung sehari selepas Trump bertemu Zelenskyy di Forum Ekonomi Dunia di Davos.
Utusan AS, Steve Witkoff turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin.
Ketika diplomasi giat dijalankan, ribuan penduduk Kyiv berdepan ketiadaan sistem pemanasan dalam suhu bawah paras beku akibat serangan peluru berpandu Rusia.
Kesatuan Eropah, yang menghantar ratusan generator ke Ukraine, menuduh Moscow “secara sengaja menyebabkan rakyat awam kehilangan sumber haba.”
Pihak berkuasa Ukraine melaporkan tiga kematian akibat serangan di wilayah Kharkiv pada Jumaat, manakala empat lagi — termasuk seorang ayah dan anak lelaki berusia lima tahun — maut dalam serangan pada waktu malam di timur negara itu.
Rusia kekal dengan tuntutan maksimum
Beberapa jam selepas Putin bertemu Witkoff dan Jared Kushner di Moscow, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menegaskan, tuntutan Rusia agar tentera Ukraine berundur dari keseluruhan kawasan Donbas “masih menjadi syarat utama.”
Kyiv yang masih mengawal kira-kira 20 peratus wilayah itu menolak tuntutan tersebut.
Menuju pengakhiran perang - Zelenskyy
Zelenskyy mengakui, isu Donbas kekal “perkara paling utama” dalam perbincangan damai.
Beliau berkata rundingan berpotensi menjadi “langkah ke arah menamatkan perang,” namun mengingatkan bahawa hasilnya masih tidak dapat dijangka.
Beliau turut memaklumkan format penuh rundingan masih sedang disusun selepas berbincang dengan ketua delegasi, Rustem Umerov.
Kali terakhir rundingan bersemuka Ukraine-Rusia diadakan adalah di Istanbul tahun lalu, namun hanya menghasilkan persetujuan pertukaran tahanan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


