BELGRADE: Upacara peringatan bagi bekas Panglima Tentera Serb Bosnia, Jeneral Ratko Mladic, yang meninggal dunia dalam tahanan International Residual Mechanism for Criminal Tribunals (IRMCT), bermula di Dewan Tentera Serbia, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Mayat Mladic diterbangkan dari Rotterdam ke Lapangan Terbang Belgrade pada Khamis malam.
Kira-kira tengah hari (10:00 pagi GMT) pada Sabtu, ratusan orang ramai dan puluhan wakil media berkumpul di hadapan Dewan Tentera di pusat bandar raya Belgrade.
Anak lelaki Mladic, Darko Mladic, dalam satu sidang media pada Jumaat memaklumkan bahawa hanya bilangan tetamu yang terhad dibenarkan menghadiri majlis peringatan itu atas faktor kapasiti dan keselamatan, serta memohon orang ramai supaya dapat memahami keadaan.
Menteri Kehakiman Serbia Nenad Vujic dan wakil Kedutaan Rusia dilihat memasuki bangunan berkenaan.
Akademi Perubatan Tentera Serbia (MMA) akan menjalankan bedah siasat ke atas Jeneral Ratko Mladic, kata Timbalan Ketua Institusi itu, Kolonel Ivan Lekovic pada Jumaat.
Upacara pengebumian dijadualkan berlangsung pada 7 Sept di Tanah Perkuburan Topcider di Belgrade.
Mladic meninggal dunia pada 27 Ogos di hospital penjara Kemudahan Tahanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah IRMCT di The Hague.
Peguamnya, Dragan Ivetic berkata tribunal berkenaan menolak permohonan pembebasan atas dasar kemanusiaan untuk anak guamnya sebelum beliau meninggal dunia, sekali gus menafikan peluangnya untuk menghabiskan hari-hari terakhirnya bersama keluarga tersayang.
Peguam itu menegaskan bahawa Mladic merupakan banduan pertama di The Hague yang tidak dibebaskan sebelum menghembuskan nafas terakhir.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI