SINGAPURA: Amerika Syarikat (AS) akan berusaha untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala melibatkan negara itu dengan negara-negara di rantau Indo-Pasifik.

Naib Presidennya, Kamala Harris berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar luar Amerika Syarikat melibatkan rantau Indo-Pasifik dalam rangka lawatan rasminya ke Singapura pada Selasa.

Menurutnya, usaha mengeratkan hubungan itu merupakan antara fokus utama dan visi Presiden AS, Joe Biden.

“Amerika Syarikat akan terus mengusahakan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka yang mempromosikan kerjasama kami melibatkan rakan-rakan dan sekutu kami.

BACA: Kamala Harris sampaikan ucapan dasar luar AS pada Selasa

“Selain mengeratkan hubungan dua hala, kami juga akan bekerja secara multilateral melalui institusi seperti ASEAN yang tetap menjadi pusat di rantau (Asia Tenggara) ini.

“Kami juga akan bekerjasama dengan kumpulan baharu seperti kerjasama 'quad' (Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan India) dan Perkongsian AS-Mekong,” katanya dalam ucapan tersebut.

Tambahnya, AS juga akan terus berpegang kepada nilai-nilai mereka dan menyokong pihak yang berusaha untuk mendapatkan masa depan lebih baik untuk semua orang.

Sementara itu, mengulas insiden di Afghanistan, beliau berkata AS kini memberi tumpuan untuk membawa keluar rakyatnya dan sekutu antarabangsa dari negara tersebut.

BACA: Naib Presiden AS, Kamala Harris, tiba di Singapura untuk lawatan rasmi

“Sejak beberapa minggu kebelakangan, Amerika Syarikat fokus untuk membawa keluar warga Amerika, sekutu antarabangsa, warga Afghanistan yang bersama kami dan rakyat negara tersebut yang berdepan risiko.

“Kami fokus kepada tugas tersebut dan kami sangat berterima kasih kepada semua warga Amerika Syarikat dan pegawai kedutaan yang berada di sana yang berada dalam persekitaran yang sangat sukar dan bahaya.

“Kami juga berterima kasih kepada rakan antarabangsa kami kerana berdiri bersama kami dan bekerjasama untuk menghadapi cabaran ini, termasuklah Singapura,” ujarnya.

Harris berada di Singapura sempena lawatan rasminya ke dua destinasi di Asia Tenggara.

Lawatan beliau bertujuan mengadakan kerjasasama dalam isu yang mempunyai kepentingan bersama termasuk keamanan serantau, tindak balas global terhadap pandemik COVID-19, perubahan iklim dan mempromosikan peraturan berdasarkan perintah antarabangsa.

Harris dijangka berada di republik itu sehingga Selasa dan akan meneruskan lawatan rasmi ke destinasi kedua di Vietnam.