Skip to main content

Dunia

AS usir dua anggota delegasi Iran yang enggan beredar selepas Perhimpunan Agung PBB

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat, pada 23 September 2026. Gambar Reuters
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berucap pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat, pada 23 September 2026. Gambar Reuters

Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengusir dua anggota delegasi Iran yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas didakwa ingkar arahan untuk meninggalkan negara itu, menurut Jabatan Negara AS pada Sabtu.

Seorang pegawai AS berkata, kedua-dua individu berkenaan dikesan masih berada di New York lama selepas Perhimpunan Agung PBB berakhir.

"Dua lagi anggota delegasi Iran didapati masih berada di New York lama selepas Perhimpunan Agung PBB berakhir. Mereka kini telah diusir dari Amerika Syarikat," katanya kepada agensi berita AFP.

Pegawai itu turut menegaskan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, serius dalam melaksanakan arahan serta dasar pentadbiran Washington.

Media AS melaporkan, Jabatan Negara telah mengarahkan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan delegasinya meninggalkan negara itu pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, tindakan pengusiran terhadap dua anggota delegasi berkenaan diambil selepas misi Iran ke PBB memaklumkan bahawa mereka masih berada di AS pada Jumaat.

Menurut portal berita Axios, seorang daripada anggota delegasi itu meninggalkan AS pada malam Jumaat manakala seorang lagi berlepas pada pagi Sabtu.

Perkembangan itu berlaku selepas pegawai AS dan Iran mengadakan pertemuan di New York minggu lalu di luar sesi Perhimpunan Agung PBB.

Pada masa sama, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan menolak cadangan Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz, namun memberitahu media tempatan bahawa beliau menjangkakan rundingan antara kedua-dua pihak akan disambung semula dalam beberapa hari lagi.

Sementara itu, agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan, Tehran tidak mempunyai sebarang rundingan langsung dengan Washington yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Hubungan antara AS dan Iran terus dibayangi ketegangan berhubung pelbagai isu termasuk program nuklear Tehran, sekatan ekonomi serta keselamatan serantau di Asia Barat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement