KAHERAH: Utusan Asia Barat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner mengadakan pertemuan jarang berlaku dengan kepimpinan Hamas bagi membincangkan pelaksanaan pelan damai Gaza yang disokong Washington.
Seorang pegawai Palestin memaklumkan, menantu Trump itu bertemu delegasi Hamas yang diketuai pemimpin baharunya, Khalil al-Hayya, di Mesir pada Ahad.
Pertemuan berprofil tinggi itu dipercayai yang pertama seumpamanya sejak persetujuan gencatan senjata dicapai bagi Semenanjung Gaza tahun lalu.
Bulan lalu, Lembaga Keamanan yang dipimpin Trump memaklumkan ia telah mencapai persetujuan mengenai pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Bagaimanapun, minggu lalu Israel menolak pelan damai 15 perkara yang turut menggariskan pengunduran tentera Israel dari Gaza serta usaha membangunkan semula wilayah itu di bawah pentadbiran awam Palestin yang baharu.
Pada Ahad, lapan negara Islam mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk penolakan Israel terhadap pelan berkenaan.
Lembaga Keamanan merupakan organisasi antarabangsa yang pada asalnya ditubuhkan bagi mempromosikan keamanan di Gaza sebelum skopnya diperluaskan merangkumi konflik di seluruh dunia.
Menurut laporan, dua lagi wakil lembaga berkenaan, Nickolay Mladenov dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair turut menghadiri pertemuan itu bersama wakil Mesir, Qatar dan Turkiye yang selama ini memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan keamanan.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai hasil perbincangan tersebut, namun, laporan media menyebut, pertemuan itu tertumpu kepada langkah konkrit untuk melucutkan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel serta usaha kemanusiaan di Gaza.
Semasa berada di Mesir, Kushner turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
Media Israel pula melaporkan Kushner, Mladenov dan Blair dijadual bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Isnin bagi meneruskan usaha memperkasa pelan damai yang dicadangkan Trump.
Netanyahu sebelum ini menegaskan, pelaksanaan sebarang perjanjian hanya boleh dilakukan selepas Hamas melaksanakan pelucutan senjata sepenuhnya.
"Israel menolak dokumen 15 perkara Board of Peace mengenai Gaza. Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tidak akan berundur sehingga Hamas benar-benar dilucutkan senjata," katanya minggu lalu.
Dalam kenyataan bersama pada Ahad, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, Jordan, Turkiye, Pakistan dan Indonesia menyifatkan penolakan Israel terhadap pelan damai AS itu sebagai ancaman kepada usaha Trump untuk mencapai keamanan di rantau berkenaan.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober tahun lalu masih kekal sehingga kini.
Namun, IDF dilaporkan telah melancarkan beberapa serangan ke atas Gaza sejak itu, termasuk yang terbaharu menyasarkan individu yang didakwa sebagai "pengganas" di kawasan Khan Younis dan Nuseirat, dengan Israel menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata.
Perang Gaza tercetus selepas serangan yang dipimpin Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang manakala 251 lagi dijadikan tebusan.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu telah mengorbankan lebih 73,000 penduduk.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan kira-kira 1.9 juta penduduk, atau hampir 90 peratus daripada populasi Gaza, telah kehilangan tempat tinggal sejak konflik itu bermula. - Agensi