LONDON: Pihak berkuasa kesihatan UK lancar kempen meyakinkan golongan ibu mengandung untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Ini selepas data mendedahkan 96 peratus wanita mengandung yang menerima rawatan di hospital tahun lalu tidak menerima suntikan vaksin.

Kempen yang dilancarkan ini disokong pelbagai bukti saintifik vaksinasi adalah selamat terhadap golongan tersebut.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson turut hadir di pusat pemberian vaksin bagi menggalakkan lebih ramai rakyat negara itu menerima suntikan penggalak.

Malah melalui portal kerajaan, wanita mengandung digesa untuk mendapatkan suntikan vaksin demi kesihatan ibu dan bayi daripada dijangkiti.

Ketua Penasihat Saintifik kepada Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK, Profesor Lucy Chappell berkata, kini terdapat bukti jelas untuk menunjukkan COVID-19 memberi risiko kepada wanita hamil dan bayi mereka.

Menurut Chappell, bayi yang dilahirkan daripada wanita yang dirawat akibat COVID-19 selalunya perlu dimasukkan ke hospital.

"Daripada jumlah wanita mengandung yang menerima rawatan di hospital tahun lalu, untuk tempoh data yang kami terima dari Mac hingga Oktober, kita tahu 96.3 peratus adalah mereka yang tidak divaksinasi dan perkara ini masih lagi berlanjutan.

"Jadi satu pertiga wanita mengandung yang menerima rawatan akibat COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan, satu daripada enam perlu menerima rawatan intensif, satu daripada lima perlu melahirkan pramatang, dan satu daripada lima bayi perlu melalui NICU.

"Sebagai perunding obstetrik, saya melihat ini adalah benar-benar masa untuk kita semua dapatkan vaksin bagi mengelakkan komplikasi ini," katanya.

Justeru itu, mereka disaran untuk segera mendapatkan suntikan vaksin demi mengurangkan risiko kesihatan.

Untuk rekod, sejak April 2021, sekitar 84,000 wanita mengandung sudah menerima satu dos dan lebih 80,000 sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.