HANOI: Vietnam akan menamakan seorang presiden baharu pada minggu ini, kata seorang pegawai pada Selasa selepas pengunduran Presiden Nguyen Xuan Phuc secara dramatik yang sebahagian daripada usaha antirasuah.

Menurut sumber politik dan kerajaan, Vo Van Thuong, 52, dijangka dinamakan menjadi presiden semasa mesyuarat luar biasa perhimpunan kebangsaan pada Khamis ini.

Pelantikannya dijangka berlangsung ketika pergolakan politik di Vietnam di mana 'pembersihan' anti-rasuah dan perpecahan Parti Komunis yang menyaksikan beberapa menteri dipecat.

Kerajaan autoritarian Vietnam dikendalikan satu parti dan diketuai Setiausaha Agung, Presiden dan Perdana Menteri.

Thuong dilihat rapat dengan Setiausaha Agung Nguyen Phu Trong, selaku individu paling berkuasa dalam parti dan peneraju kempen anti-rasuah di Vietnam.

"Jawatankuasa pusat parti akan bermesyuarat pada hari Rabu, manakala hampir 500 anggota Dewan Negara akan bermesyuarat pada mesyuarat luar biasa keempatnya pada Khamis," kata sumber perhimpunan kebangsaan kepada AFP.

Thuong telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Jawatankuasa Pemandu Pusat bagi Pencegahan dan Kawalan Rasuah dan Fenomena Negatif sejak 2021. - Sinar Harian/Agensi