NEW DELHI: Dua maut dan tiga lagi diuji positif virus Nipah di Kerala, selatan India, setakat Khamis.

Pakar kesihatan kini sedang mengumpul sampel cecair daripada kelawar dan pokok buah-buahan di wilayah tersebut.

Virus itu tidak mempunyai vaksin dan merebak melalui sentuhan dengan cecair badan kelawar, babi atau manusia yang dijangkiti, membunuh sehingga 75 peratus daripada mereka yang dijangkiti.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George berkata, pihaknya sedang membuat ujian saringan terhadap manusia dan pakar mengumpul sampel dari kawasan hutan yang boleh menjadi titik panas untuk penyebaran.

Sampel air kencing kelawar, najis haiwan dan buah-buahan yang dimakan telah dikutip dari Maruthonkara, kampung tempat mangsa pertama tinggal.

Kelawar buah dari kawasan itu telah diuji positif untuk virus Nipah semasa wabak pada 2018, yang pertama di negeri itu.

Kata George, 77 orang telah dikenal pasti berisiko tinggi dijangkiti.

Hampir 800 orang telah diuji dalam tempoh 48 jam terakhir di daerah Kozhikode dengan dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian selepas terbukti positif.

Pejabat awam, bangunan kerajaan, pusat pendidikan dan institusi agama ditutup di sembilan kampung di daerah itu manakala pengangkutan awam digantung di kawasan berisiko.

Negeri jiran Karnataka dan Tamil Nadu telah mengarahkan ujian untuk pelawat dari Kerala dengan rancangan untuk mengasingkan sesiapa yang menunjukkan gejala influenza.

Virus ini boleh menjangkiti pelbagai haiwan sekaligus meningkatkan peluang penyebaran.

Ia pertama kali dikenal pasti pada tahun 1999 semasa wabak penyakit dalam kalangan penternak di Malaysia dan Singapura.