KINSHASA: Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) semakin menunjukkan corak penularan yang pelbagai, dengan trend penularan yang berbeza antara wilayah dan zon kesihatan terjejas, menurut laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Selasa, lapor Xinhua.
“Trend itu menunjukkan wabak yang semakin memperlihatkan corak penularan yang pelbagai, dengan penularan menurun di sesetengah kawasan, manakala di kawasan lain penularan semakin meningkat dan terus meluas,” menurut laporan itu.
Antara perkembangan utama ialah peningkatan peratusan kematian yang berlaku dalam komuniti.
Dalam tempoh 31 Ogos hingga 6 Sept, peratusan kematian yang disahkan dalam komuniti mencecah 75 peratus, kadar mingguan tertinggi yang dicatatkan sepanjang tempoh pelaporan, meningkat daripada 56.6 peratus dua minggu sebelumnya.
Menurut laporan itu, kadar kematian dalam komuniti yang tinggi “mungkin mencerminkan pelbagai halangan untuk mendapatkan rawatan, termasuk kelewatan dalam pengesanan dan pemberitahuan, kelewatan rujukan atau pemindahan ke kemudahan rawatan, kurang mengenali penyakit atau tahap keseriusannya, halangan geografi dan pengangkutan, usaha mendapatkan rawatan di luar kemudahan kesihatan rasmi serta tahap penerimaan atau kepercayaan masyarakat.”
Mengenai vaksin Ervebo, vaksin yang diluluskan untuk melindungi daripada ebolavirus Zaire itu kini sedang dinilai menerusi kajian keberkesanan bagi menentukan sama ada ia turut memberikan perlindungan silang terhadap strain Bundibugyo yang menyebabkan wabak ketika ini.
Sementara itu, di bawah protokol penggunaan berbelas kasihan, yang membolehkan vaksin yang belum diluluskan atau masih dalam kajian digunakan ketika wabak, vaksinasi bagi petugas kesihatan barisan hadapan dan golongan berisiko telah bermula pada 27 Ogos.
Setakat 6 Sept, seramai 2,007 petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan telah divaksin, menurut laporan itu.
Secara kumulatif, sebanyak 6,686 kes disahkan dan 3,226 kematian disahkan dicatatkan setakat 6 Sept, dengan kadar kematian kes sebanyak 48.3 peratus dalam kalangan kes disahkan dan berkemungkinan.
Jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan kekal menjadi kebimbangan utama, dengan 167 kes disahkan termasuk 47 kematian.
WHO menilai risiko penularan lanjut sebagai “sangat tinggi” di DR Congo dan “tinggi” di negara jiran.
Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) kedua yang bersidang pada 18 Ogos menegaskan bahawa “wabak itu masih jauh daripada terkawal” dan terus menjadi kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
-- BERNAMA-XINHUA