Skip to main content

Dunia

Wanita ditemukan selamat selepas 36 jam tertimbus runtuhan gempa Colombia

Rescue workers carry a survivor Daniela Largo after pulling her from the rubble the day after an earthquake struck Pereira, Colombia, Tuesday, Aug. 11, 2026. (AP Photo/Fernando Vergara)
Petugas penyelamat membawa Daniela Largo selepas berjaya mengeluarkannya dari bawah runtuhan sehari selepas gempa bumi melanda Pereira, Colombia. - Foto AP
Advertisement

BOGOTA: Seorang wanita berusia 32 tahun berjaya ditemukan selamat selepas terperangkap selama 36 jam di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi kuat yang melanda Colombia pada Isnin.

Mangsa, Daniela Largo, dikeluarkan pasukan penyelamat dari sebuah bangunan yang runtuh di Pereira selepas operasi mencari dan menyelamat yang berlangsung hampir 10 jam.

Menurut keluarganya, kedudukan Largo berjaya dikesan selepas seorang penduduk terdengar jeritannya meminta bantuan dari bawah timbunan runtuhan.

Pasukan bomba kemudian menggunakan kamera kecil untuk mengesan lokasi mangsa sebelum menjalankan operasi menyelamat yang rumit kerana laluannya dihalang empat kepingan konkrit besar.

Bagi memastikan mangsa terus bernafas, pasukan penyelamat terlebih dahulu menggali laluan dari bahagian atas runtuhan untuk menyalurkan bekalan oksigen.

Mereka kemudiannya menggali satu lagi terowong dari bawah sebelum berjaya mengeluarkan Largo dengan selamat.

Operasi itu turut dibantu anggota bomba dari Bogota serta pasukan respons bencana polis kebangsaan Colombia.

Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, menyifatkan kejayaan menyelamatkan Largo sebagai sinar harapan di tengah-tengah tragedi yang melanda negara itu.

Sementara itu, angka korban gempa bumi berukuran 7.4 magnitud itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 265 orang, manakala 496 lagi masih dilaporkan hilang.

Pereira, yang terletak di kawasan penanaman kopi negara itu, merekodkan 79 kematian setakat ini.

Sebanyak 92 bangunan dilaporkan runtuh, manakala 15 individu masih dipercayai terperangkap dan 37 lagi belum dapat dikesan.

Di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia, angka kematian mencecah 95 orang, sementara lebih 200 mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat, pihak berkuasa Cali melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dengan anggota tentera ditempatkan di kawasan yang terjejas teruk.

Setakat ini, 87 mangsa berjaya diselamatkan di bandar berkenaan.

Gempa bumi tersebut melanda pada jam 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gegaran berhampiran San Jose del Palmar di wilayah Choco. Sejak itu, lebih 100 gegaran susulan direkodkan di seluruh kawasan terjejas.

 

 

Must Watch Video

Advertisement