Seorang wanita di Amerika Syarikat memfailkan saman ke atas restoran makanan segera McDonald’s Corp. setelah melecur terkena kopi yang tumpah di sebuah rangkaian restoran itu di Los Angeles.

Paulette Carr mendakwa dia melecur pada 12 Januari 2012 selepas memesan kopi melalui kaunter pandu masuk McDonald’s dan menuntut ganti rugi yang tidak ditetapkan, lapor The Los Angeles Times.

“Penutup cawan kopi panas itu telah diletakkan dengan tidak betul dan dengan cuai … menyebabkan ia tertanggal semasa di kaunter penyerahan dan kopi tumpah terkena plaintif," kata Carr dalam saman tersebut.

Saman itu bagaimanapun tidak menyatakan tahap kecederaan yang dialami oleh Carr. The Los Angeles Times juga melaporkan peguam Carr dan jurucakap McDonald's enggan memberikan komen lanjut.

Saman berkenaan difailkan 20 tahun selepas juri menganugerahkan AS$2.9 juta kepada seorang wanita yang melecur teruk terkena kopi panas yang tumpah ke ribanya di sebuah restoran McDonald di Albuquerque.

Keputusan itu bagaimanapun dikritik hebat dan mencetuskan kempen untuk pembaharuan undang-undang.

Hakim kemudian mengurangkan ganti rugi kepada AS$640,000 dan kes itu diselesaikan di luar mahkamah untuk satu jumlah pampasan yang tidak didedahkan.