Skip to main content
Advertisement

Dunia

Wartawan ditabal raja Uganda selepas pertikaian pewarisan takhta

Journalist Edward Rukidi Kijanangoma delivers a speech during his coronation as king of Uganda's traditional Tooro Kingdom, in Fort Portal, Tuesday, Sept. 29, 2026. (AP Photo/Hajarah Nalwadda)
Raja Edward Rukidi Kijanangoma Nyabongo I menyampaikan ucapan selepas ditabal sebagai Raja Kerajaan Tooro, salah satu kerajaan tradisional Uganda, dalam upacara penabalan di Fort Portal, Uganda. - Foto AP
Advertisement

KAMPALA: Seorang wartawan dan penyampai berita veteran, Edward Rukidi Kijanangoma, ditabal sebagai Raja Kerajaan Tooro di Uganda, sekali gus menamatkan pertikaian pewarisan takhta yang tercetus selepas kemangkatan pemerintah terdahulu.

Kijanangoma, 56, yang kini bergelar Raja Edward Rukidi Kijanangoma Nyabongo I, sebelum ini terkenal sebagai penyampai dan editor di penyiar milik kerajaan Uganda.

Beliau menggantikan Raja Oyo Nyimba Kabamba Iguru Rukidi IV, yang mangkat bulan lalu akibat kanser pada usia 34 tahun.

Raja Oyo pernah mencipta sejarah sebagai antara raja termuda di dunia apabila menaiki takhta pada 1995 ketika berusia tiga tahun berikutan kemangkatan ayahandanya.

Bagaimanapun, pemilihan Kijanangoma bukan tanpa kontroversi.

Menurut beberapa anggota keluarga diraja, Raja Oyo dikatakan meninggalkan seorang anak lelaki dan wasiat yang menyatakan anak itu sebagai pewaris takhta.

Namun, anak tersebut tidak pernah diperkenalkan kepada umum dan tidak diiktiraf oleh jawatankuasa pewarisan daripada puak diraja Babiito yang bertanggungjawab memilih raja baharu.

Ibu mendiang Raja Oyo, Ratu Best Kemigisa, dilaporkan membantah keputusan itu dan berpendapat hasrat anaknya dalam wasiat berkenaan sepatutnya dihormati.

Namun, jawatankuasa pewarisan menegaskan proses pemilihan dilakukan mengikut adat serta tradisi Kerajaan Tooro.

Selepas diumumkan sebagai raja, Kijanangoma berjanji untuk memperkukuh perpaduan dan memajukan masyarakat Tooro.

"Saya tidak boleh melaksanakan tugas ini seorang diri. Saya memerlukan kerjasama rakyat," katanya.

Kijanangoma dan mendiang Raja Oyo merupakan sepupu serta cucu kepada Raja George David Matthew Kamurasi Rukidi III, pemerintah ke-11 Kerajaan Tooro.

Dilahirkan pada 1970 di Fort Portal, kira-kira 300 kilometer dari Kampala, beliau memiliki ijazah komunikasi massa daripada Universiti Makerere dan berkhidmat dalam bidang penyiaran selama lebih dua dekad, termasuk dengan Uganda Broadcasting Corporation (UBC).

Kerajaan Tooro merupakan satu daripada empat kerajaan tradisional yang diiktiraf secara rasmi di Uganda.

Walaupun raja-raja tradisional tidak mempunyai kuasa politik rasmi, mereka masih berpengaruh dalam memelihara budaya dan identiti masyarakat setempat.

Penabalan Kijanangoma turut mendapat sokongan kerajaan Uganda, termasuk Presiden Yoweri Museveni, yang menghadiri upacara rasmi tersebut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement