Ringkasan AI
- Sultan Kedah memperkenankan cadangan UUM membina Muzium Kedah Tua dengan kos RM15 juta untuk memelihara warisan sejarah negeri.
- Muzium akan menampilkan artifak bersejarah seperti pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang, serta memaparkan kehebatan tamadun Kedah Tua.
- Sultan berharap kerajaan dan dermawan menyokong projek ini sebagai produk pelancongan, selain mengurniakan ijazah kepada 6,442 graduan UUM.
SINTOK: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan cadangan Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua bagi memelihara dan mengangkat khazanah sejarah serta warisan negeri itu.
Baginda bertitah pembinaan muzium itu memerlukan peruntukan RM15 juta yang merangkumi pembinaan bangunan baharu, ruang pameran awam, ruang pameran digital, makmal konservasi, stor artifak, penyelidikan dan pengurusan.
Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UUM bertitah muzium itu akan menggambarkan kehebatan tamadun Kedah Tua untuk tatapan generasi muda, termasuk aspek pemerintahan, topografi, sejarah serta Tamadun Sungai Batu.
“Muzium berkenaan juga akan menempatkan pelbagai artifak bersejarah termasuk pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-39 UUM di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin turut berkenan mengurniakan ijazah kepada 105 graduan.
Baginda berharap kerajaan turut memberi perhatian terhadap projek itu dengan menjadikannya sebagai satu daripada produk pelancongan, selain ada dermawan sudi menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan pembinaannya.
Sultan Sallehuddin bertitah Kedah mempunyai sejarah tamadun yang panjang, apabila sejak zaman awal pembentukan tamadun di rantau ini, negeri itu muncul sebagai sebuah kerajaan makmur berasaskan perdagangan dan industri besi.
“Kegiatan peleburan besi yang berkembang di kawasan Sungai Batu dan Lembah Bujang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, malah menarik kedatangan pedagang dari pelbagai wilayah sehingga menjadikan Kedah antara pusat ekonomi utama di Asia Tenggara,” titah baginda.
Sementara itu, baginda turut mengingatkan graduan bahawa ijazah yang diterima bukan sekadar menandakan berakhirnya satu perjalanan pengajian, tetapi permulaan kepada amanah dan tanggungjawab baharu.
Sebanyak 6,442 graduan menerima ijazah masing-masing sepanjang majlis berlangsung dari 15 hingga 19 Nov ini di Dewan Mu’adzam Shah UUM.
Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada Irfan Umar Mohd Nor Fazly, 24, dari Petaling Jaya, Selangor dan Ooi Sze Qin, 24, dari Cheras, Selangor, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, dari Kuala Kangsar, Perak.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja memperoleh wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM5,000 berserta sijil.
-- BERNAMA