Skip to main content

Malaysia

Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Ab Rauf atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Melaka

Ab Rauf (kiri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Ahad. -Foto Facebook Zahid Hamidi
Ab Rauf (kiri) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Ahad. -Foto Facebook Zahid Hamidi

Ringkasan AI

  • Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilantik semula sebagai Ketua Menteri Melaka selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri.
  • Barisan Nasional dan Perikatan Nasional memperoleh majoriti lebih dua pertiga dengan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka.
  • Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah dan yakin kepimpinan Ab Rauf akan meneruskan kemajuan serta manfaat kepada rakyat Melaka.
Advertisement

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata kepercayaan diberikan rakyat membawa bersama-sama tanggungjawab besar untuk meneruskan segala usaha yang telah dibina, di samping memperkukuh kestabilan negeri dan memastikan setiap pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

"Insya-Allah, saya yakin dengan pengalaman dan kepimpinan yang dimiliki, kesinambungan kemajuan Melaka dapat diteruskan dan lebih banyak peluang dapat dibuka untuk rakyat di seluruh negeri.

Advertisement

"Semoga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan dan petunjuk kepada YAB Datuk Seri Utama dalam memikul amanah ini serta terus memimpin Melaka ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Advertisement

Terdahulu, Ab Rauf, 65, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) di Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.

Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 semalam menyaksikan Ab Rauf mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri dalam saingan satu lawan satu.

Gabungan BN–Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri dengan BN memenangi 21 kerusi, manakala PN meraih tiga kerusi daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memperoleh empat kerusi. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement