Skip to main content

Dunia

ASEAN perlu kurangkan kebergantungan sumber bekalan luar - PM Anwar

Anwar Ibrahim berkata pandemik COVID-19 membuktikan betapa mudahnya rantaian bekalan terganggu ketika dunia berdepan krisis. -Gambar PMO
Anwar Ibrahim berkata pandemik COVID-19 membuktikan betapa mudahnya rantaian bekalan terganggu ketika dunia berdepan krisis. -Gambar PMO
Advertisement

MANILA: ASEAN perlu memperkukuh keselamatan makanan dan bekalan ubat-ubatan menerusi kerjasama serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, khususnya ketika berdepan krisis global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha menjamin keselamatan makanan perlu bermula dengan memperkukuh rantaian bekalan input pertanian termasuk baja, benih dan makanan ternakan yang sebahagian besarnya masih diperoleh dari luar rantau ini.

Menurut beliau, negara anggota perlu meningkatkan perdagangan bahan input berkenaan sesama sendiri selain memastikan bekalan makanan dan input pertanian penting terus disalurkan menerusi laluan perdagangan yang dipercayai ketika krisis.

Advertisement

"ASEAN perlu memperkukuh daya tahan di sepanjang rantaian ini dengan meningkatkan perdagangan input berkenaan sesama sendiri, memastikan bekalan makanan dan input pertanian penting terus mengalir menerusi laluan hijau yang dipercayai ketika krisis serta mengoptimumkan rizab serantau seperti Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Ahad.

Advertisement

Dalam aspek kesihatan, Anwar berkata pandemik COVID-19 membuktikan betapa mudahnya rantaian bekalan terganggu ketika dunia berdepan krisis.

Katanya, perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar turut meningkatkan risiko berlakunya pandemik pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menggesa ASEAN mempergiat usaha meningkatkan akses kepada ubat-ubatan menerusi pengiktirafan bersama kelulusan kawal selia, penggabungan kuasa pembelian dan stok simpanan serta pembangunan kapasiti pengeluaran serantau bagi ubat-ubatan dan vaksin penting.

Menurut beliau, kerjasama itu penting bagi memastikan negara anggota mempunyai akses lebih terjamin terhadap keperluan asas ketika berdepan kecemasan kesihatan dan gangguan bekalan global.

Must Watch Video

Advertisement