RAMALLAH: The World Central Kitchen (WCK) pada Khamis meminta supaya satu siasatan bebas diadakan terhadap serangan udara Israel yang menyasarkan kenderaan pertubuhan itu dan membunuh tujuh petugas bantuan kemanusiaannya di Gaza, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

"Kami telah meminta Kerajaan Australia, Kanada, Amerika Syarikat (AS), Poland dan United Kingdom (UK) untuk menyertai kami bagi menuntut satu siasatan bebas melibatkan pihak ketiga terhadap serangan ini termasuk sama ada ia dilaksanakan dengan sengaja atau sebaliknya melanggar undang-undang antarabangsa," kata WCK dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawangnya.

Semalam bagi memastikan integriti siasatan, WCK meminta Kerajaan Israel supaya segera memelihara segala dokumen, komunikasi, rakaman video/audio dan bahan-bahan lain yang berpotensi dan relevan dalam serangan 1 April itu.

"Ini merupakan satu serangan tentera yang melibatkan pelbagai serangan dan menyasarkan tiga kenderaan WCK. Kesemua tiga kenderaan itu membawa orang awam, kenderaan itu ditanda sebagai kenderaan WCK dan pergerakan mereka mematuhi sepenuhnya kehendak pihak berkuasa Israel yang tahu jadual perjalanan, laluan dan misi kemanusiaan mereka," kata WCK.

Ia berkata satu siasatan bebas merupakan satu-satunya cara untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku, memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan kepada mereka yang bertanggungjawab dan mengelakkan daripada serangan ke atas petugas bantuan kemanusiaan daripada serangan akan datang.

Petugas yang terbunuh dalam serangan Israel itu adalah warganegara Australia, Poland, UK dan Palestin selain daripada mereka yang mempunyai dwikewarganegaraan AS-Kanada.

-- BERNAMA