DAVOS: Reformasi yang sedang berlaku di Arab Saudi sejak 2016 mendominasi pentas Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023.

Dalam sesi dialog bertajuk ‘Saudi Arabia’s Transformation in a Changing Global Context’, Arab Saudi menghantar tiga ‘jagoan’ mewakili pentadbiran Riyadh untuk merungkai dan menerangkan kepada dunia tentang faktor yang mendorong perubahan di Arab Saudi.

Menteri Kewangan Mohammed Al-Jadaan, Duta Besar Arab Saudi ke Amerika Syarikat Puteri Reema Bandar Al-Saud dan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Abdullah Al-Swaha menggariskan lima asas yang dilihat mendasari revolusi sosio-budaya di negara itu seperti berikut:

1. Dunia menjadi semakin kompleks

2. Pemikiran baharu - Arab Saudi memimpin dunia, jadi kuasa penghubung dan memandu hubungan perdagangan antarabangsa

3. Membuka pasaran seluas-luasnya, memakmurkan sosio-ekonomi masyarakat

4. Memanfaat setiap bakat, penglibatan wanita dalam dan luar negara

5. Mempelbagaikan sumber pendapatan yang menyumbang kepada kelestarian dan kemampanan sejagat

Menurut Mohammed Al-Jadaan, kerangka hala tuju ‘Vision 2030’ atau Wawasan Arab Saudi 2030 yang diperkenalkan oleh Putera Mohamad bin Salman (MBS) merupakan titik penting mengubah cara negara itu melihat ekonomi, reformasi sosial dan pembaharuan fiskal.

“Kami mahu menjadi contoh di rantau ini. Dan kami menyeru negara-negara sekeliling (blok Asia Barat) turut sama melaksanakan reformasi.

“Malah kami telah mengubah cara untuk membantu dan cara untuk menyalurkan bantuan dana pembangunan di rantau ini,” kata Mohammed Al-Jadaan.

Lebih signifikan, revolusi sosio-budaya yang sedang melanda Arab Saudi ini diperhebat dengan iltizam kerajaan membuka ruang seluas-luasnya buat para wanita untuk berperanan sebagai tonggak memacu perubahan.

Puteri Reema menyifatkan adalah mustahil membentuk ekonomi yang lestari dan mampan sekiranya 50 peratus rakyatnya yang terdiri daripada golongan wanita dipinggirkan daripada pembangunan negara.

“Perubahan sosial bermula dengan perubahan minda yang meletakkan wanita adalah setara dan wanita diberi peluang serta memiliki pendapatan yang saksama.

“Persoalannya, bagaimana Arab Saudi dapat menjuarai isu ini di peringkat global? Kami bukan sahaja boleh menjadi contoh untuk rantau ini, malah secara jujurnya saya merasakan kami boleh menjadi contoh terbaik di dunia Islam,” katanya.

Tambahnya, Arab Saudi tidak perlu menunggu 2030 untuk memenuhi matlamat penglibatan 35 peratus wanita sebagai pembuat keputusan merentasi pelbagai sektor kerana ia sudah dicapai pada 2022. 

Kru Astro AWANI turut meninjau dan mengamati segala ‘tawaran’ oleh Arab Saudi di luar kawasan forum.

Harus diakui, pentadbiran Riyadh mengambil serius setiap acara yang menjadi tumpuan global untuk ‘melebarkan’ lagi pengaruhnya di peringkat global. Mereka tahu Davos menjadi tumpuan golongan elit global berpengaruh merentasi pelbagai sektor. 

Salah satu daripada beberapa bangunan yang disewa khas menjadi ‘House of Saudi’, yang dilawati ialah ‘Youth Majlis’. Berdasarkan tinjauan Astro AWANI di sini, Youth Majlis menampilkan citra berbeza dengan adaptasi elemen yang bersifat antarabangsa.

 ‘Youth Majlis’ menampilkan citra berbeza dengan adaptasi elemen yang bersifat antarabangsa. - Foto Instagram/MiskGlobal

Youth Majlis dikendalikan oleh Yayasan Putera MBS atau The MISK Foundation. Ia ditubuhkan oleh Putera MBS sendiri pada 2011 dan bermatlamat meneroka, membina serta memperkasa anak-anak muda Arab Saudi di dalam bidang ekonomi masa depan.

Impaknya, lebih 12 tahun penubuhannya, anak-anak muda ini memimpin dan mengendali acara di peringkat global dengan citra dan jiwa antarabangsa.

Youth Majlis menjadi hab di Davos ini untuk menceritakan agenda pemerkasaan belia di Arab Saudi. Anak-anak muda ini menawarkan pengalaman kepada pengunjung dengan teknologi-teknologi terkini yang menjadi enjin kepada segala inisiatif mereka.

Ia memberi gambaran besar tentang kepemimpinan yang jelas dengan hala tuju; ke mana mahu dibawa negara mereka dengan bakat-bakat yang disusun untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Kata orang Inggeris, ‘beyond business-as-usual’ ialah ungkapan tepat untuk menggambarkan Arab Saudi yang kini sedang rancak membina pengaruh dan keyakinan untuk memakmurkan lagi sosio-ekonomi masyarakat sekarang dan masa depan.