Skip to main content

Dunia

White House tolak laporan PBB dakwa AS mungkin lakukan jenayah perang di Iran

MINAB
Antara insiden yang menjadi perhatian ialah pengeboman Sekolah Shajareh Tayyebeh di bandar Minab, selatan Iran. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: White House menolak laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan terdapat “asas munasabah” untuk mempercayai bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin melakukan jenayah perang menerusi dua serangan udara di Iran pada 28 Februari lalu.

Jurucakap White House, Anna Kelly, menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas dan mengkritik Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

“Majlis Hak Asasi Manusia PBB tidak mencapai apa-apa untuk hak asasi manusia sambil mengeluarkan kenyataan tidak serius selama beberapa dekad,” katanya seperti dipetik oleh The Washington Post.

Kelly turut menegaskan bahawa pihak yang melakukan jenayah perang dalam konflik itu ialah kerajaan Iran dan bukannya AS.

Laporan yang diterbitkan oleh misi pencari fakta PBB pada Khamis memberi tumpuan kepada dua serangan udara AS pada hari pertama perang yang didakwa mengorbankan sekurang-kurangnya 178 orang awam.

Antara insiden yang menjadi perhatian ialah pengeboman Sekolah Shajareh Tayyebeh di bandar Minab, selatan Iran.

Menurut media Iran, serangan itu mengorbankan 168 orang, kebanyakannya kanak-kanak.

Misi pencari fakta PBB menyimpulkan bahawa sekolah berkenaan merupakan sasaran yang disengajakan dan bukannya terkena kesan sampingan serangan terhadap sasaran lain.

Pentadbiran Presiden Donald Trump setakat ini belum mengakui sebarang tanggungjawab berhubung serangan terhadap sekolah itu atau mengeluarkan hasil siasatan Pentagon mengenai insiden berkenaan.

Laporan PBB itu dijangka menambah tekanan antarabangsa terhadap Washington susulan dakwaan korban awam yang tinggi dalam konflik tersebut.

 

 

Must Watch Video

Advertisement