BINTANG siri Star Trek, William Shatner menjadi individu terbaharu yang mengunjungi angkasa lepas, menggunakan pesawat angkasa yang dibina syarikat milik hartawan Jeff Bezos, Blue Origin.

Dia juga menjadi orang paling tua, yang dilancarkan ke angkasa lepas.

Shatner berada di ruang angkasa selama 10 minit dan selamat mendarat di Van Horn, Texas.

Bukan sekadar menjadi individu tertua yang berlepas ke angkasa lepas, beliau sekali gus memecahkan rekod dicatatkan oleh angkasawan berusia 82 tahun, Wally Funk yang menyertai penerbangan pertama Blue Origin ke angkasa lepas pada Julai lalu.

Shatner yang memainkan watak ‘Kapten Kirk’ dalam siri filem sains fiksyen itu, menjadi kru pelakon Star Trek pertama yang mengembara ke angkasa lepas sebagai tetamu menggunakan roket 'suborbital' milik syarikat hartawan Jeff Bezos.

Shatner bersama tiga lagi kru roket NS-18, melepasi garisan karman iaitu sempadan diiktiraf antarabangsa sebagai tanda permulaan ruang angkasa lepas yang terletak 100 kilometer di atas permukaan bumi.

Keputusan Blue Origin untuk membawa seorang watak paling dikenali dalam Star Trek untuk penerbangan kedua syarikat itu ke angkasa lepas dijangka bakal memacu sektor pelancongan angkasa lepas.