GENEVA: Kepekatan karbon dioksida (CO2), metana dan nitrus oksida dalam atmosfera mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah pada 2025, sekali gus mendedahkan bumi kepada pemanasan berterusan untuk beberapa dekad malah berabad-abad akan datang, menurut amaran Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam Buletin Gas Rumah Hijau terbaharunya, agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan bahawa purata kepekatan CO2 di seluruh dunia mencecah 426.8 bahagian per juta, bersamaan 153 peratus daripada paras praindustri yang dicatatkan pada 1750, iaitu tahun asas bagi perbandingan.
"Tahun demi tahun, rekod baharu terus tercipta. Gas rumah hijau memerangkap jumlah haba yang belum pernah berlaku sebelum ini di atmosfera, sekali gus membekalkan tenaga yang mendorong kejadian cuaca lebih ekstrem serta membawa risiko berkaitan kepada ekonomi dan masyarakat kita," kata Timbalan Setiausaha Agung WMO Ko Barrett.
Beliau memberi amaran bahawa 11 tahun kebelakangan ini merupakan tempoh "paling panas pernah direkodkan" dan trend pemanasan itu dijangka berterusan.
"CO2 mempunyai jangka hayat yang sangat panjang, justeru akan menjejaskan iklim global bukan sahaja untuk beberapa tahun, malah selama beberapa dekad hingga berabad-abad," katanya.
Laporan itu mendapati kadar pertumbuhan tahunan CO2 meningkat tiga kali ganda sejak 1960-an, daripada 0.8 kepada 2.4 bahagian per juta setiap tahun bagi tempoh 2011 hingga 2020.
Antara 2024 dan 2025, kepekatan CO2 meningkat lagi sebanyak 2.8 bahagian per juta, sebahagiannya didorong oleh pembakaran bahan api fosil yang berterusan.
Kepekatan metana mencecah 1,948 bahagian per bilion atau 267 peratus daripada paras praindustri, manakala nitrus oksida meningkat kepada 339.1 bahagian per bilion, bersamaan 126 peratus daripada paras asas pada 1750.
WMO turut memberi amaran bahawa sulfur heksafluorida, yang digunakan secara meluas dalam pengagihan tenaga elektrik, mencatatkan peningkatan tahunan terbesar pada 2025 walaupun mempunyai potensi pemanasan global lebih 24,000 kali ganda berbanding CO2.
Dapatan itu diumumkan menjelang Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP31) yang akan dianjurkan oleh Turkiye bermula 9 Nov ini, yang dijangka menyaksikan kerajaan membincangkan usaha menterjemahkan komitmen iklim kepada tindakan konkrit.
-- BERNAMA-ANADOLU