MELAKA: Malaysia masih bergantung kepada import bagi memenuhi permintaan domestik terhadap ikan tertentu khususnya ikan kembong dan kerisi yang pengeluarannya belum mencapai tahap mencukupi.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pada masa sama terdapat spesies ikan yang pengeluarannya melebihi permintaan domestik, sekali gus membolehkan lebihan bekalan dieksport ke pasaran luar negara.
“Sebagai contoh, bagi ikan siakap, kita mencapai 114 peratus, jadi kita mengeksport lebihan tersebut. Ada juga ikan yang memang permintaan tinggi di peringkat domestik, jadi kita terpaksa import.
"Selain daripada permintaan dan juga bekalan, ia (import/eksport) ikan ini juga bergantung kepada musim dan sumber semula jadi, ” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LKIM 2026 di Bandar Hilir di sini malam tadi.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi, termasuk menggalakkan persatuan nelayan menceburi bidang akuakultur untuk meningkatkan pengeluaran tempatan.
Katanya, lebih 20 persatuan nelayan kawasan atau negeri kini terlibat secara langsung dalam aktiviti akuakultur yang dilaksanakan menerusi peruntukan akuakultur dan dana khas berjumlah RM40 juta di bawah Agrobank sebagai tanda sokongan kerajaan.
"Usaha ini kita harap dapat meningkatkan pengeluaran ikan tempatan serta membantu memenuhi permintaan pengguna terhadap pelbagai spesies ikan," katanya.
Muhammad Faiz berkata, setakat ini lebih 35,000 nelayan yang menerima insentif kerajaan telah direkodkan dalam Pangkalan Data Nelaya (PADAN) bagi memudahkan urusan mengenal pasti penerima bantuan, termasuk subsidi minyak dan elaun sara hidup.
Menurutnya, pangkalan data itu membolehkan pihaknya mengenal pasti penerima bantuan dengan lebih mudah dan teratur.
"Pendaftaran akan diteruskan dari semasa ke semasa apabila terdapat penerima bantuan baharu yang perlu direkodkan dalam sistem berkenaan. Yang penting, kita ada satu pangkalan data untuk memudahkan akses kepada penerima-penerima bantuan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut sebanyak 94 warga Jabatan Perikanan Malaysia menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan rekod prestasi perkhidmatan mereka sepanjang tahun.
-- BERNAMA