Skip to main content
Advertisement

Dunia

Xi Jinping ke AS untuk lawatan negara pada 23-25 September

Xi Jinping
Presiden China Xi Jinping akan melakukan lawatan negara ke Amerika Syarikat dari 23 hingga 25 September atas jemputan Presiden AS Donald Trump. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

MOSCOW: Presiden China Xi Jinping akan melakukan lawatan negara ke Amerika Syarikat (AS) dari 23 hingga 25 September, menurut Kementerian Luar China pada Isnin.

“Presiden China Xi Jinping akan melakukan lawatan negara ke Amerika Syarikat dari 23 hingga 25 September atas jemputan Presiden AS Donald Trump,” menurut kenyataan kementerian itu.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata Xi akan mengadakan perbincangan dengan Trump mengenai hubungan dua hala, selain isu utama berkaitan keamanan dan pembangunan global, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Semasa lawatan itu, Presiden Xi Jinping akan bertukar-tukar pandangan dengan Presiden Donald Trump mengenai isu utama berkaitan hubungan China-AS, serta keamanan dan pembangunan global,” kata Guo kepada pemberita.

Beliau turut berkata China mengucapkan tahniah kepada Rusia atas kejayaan mengadakan pilihan raya Dewan Rendah Parlimen Rusia.

“China mengucapkan tahniah kepada Rusia atas kejayaan mengadakan pilihan raya “State Duma”,” kata Guo.

China menyokong pilihan yang dibuat secara bebas oleh rakyat Rusia dalam pilihan raya berkenaan dan bersedia bekerjasama dengan Rusia untuk membawa hubungan dua hala ke tahap baharu, kata beliau.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement