Skip to main content
Advertisement

Dunia

Xi, Trump adakan pertemuan dua hala di White House

US President Donald Trump meets Chinese President Xi Jinping in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., US, September 24, 2026. REUTERS/Evan Vucci
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hala tuju hubungan diplomatik, kerjasama ekonomi, kawal selia kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai isu geopolitik global. -Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi di Rumah Putih pada Khamis waktu tempatan.

Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hala tuju hubungan diplomatik, kerjasama ekonomi, kawal selia kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai isu geopolitik global.

Dalam pertemuan itu, Xi berkata kekerapan lawatan antara ketua negara dalam tempoh kurang daripada setengah tahun merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah hubungan China-AS.

“Pada Mei tahun ini, Presiden Trump dan saya telah mencapai kata sepakat untuk membina hubungan strategik yang stabil dan konstruktif antara kedua-dua negara.

“Pendekatan baharu ini mencerminkan realiti hubungan China-AS serta harapan terhadap masa depan dan merupakan langkah penting ke arah yang betul bagi kedua-dua pihak.

“Kita perlu menterjemahkan visi ini kepada tindakan melalui persaingan yang sihat, pengurusan perbezaan serta usaha mengekalkan keamanan bagi meneroka jalan yang betul untuk kedua-dua negara besar ini bekerjasama,” kata beliau. 

Xi berkata pasukan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara telah mengadakan pusingan rundingan baharu serta mencapai pengaturan bersama yang baharu, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif bagi industri kedua-dua negara, rakyat serta ekonomi global.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerjasama perlu bergerak dua hala, manakala kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS memerlukan lebih banyak bidang kerjasama serta pengurangan perkara yang menjadi pertikaian.

Menurut Xi, China dan AS sebagai dua kuasa utama dalam bidang AI mempunyai ruang untuk bersaing, namun potensi kerjasama antara kedua-duanya adalah lebih besar.

Beliau berkata kedua-dua pihak perlu memanfaatkan kelebihan masing-masing dan mengelakkan sikap saling mencurigai.

Katanya, China dan AS juga boleh meneruskan dialog berkaitan AI, bertukar pandangan mengenai risiko dan manfaat teknologi itu serta bekerjasama mencegah penyalahgunaannya.

Xi turut menegaskan bahawa pendirian China dalam mempertahankan penyatuan negara dan keutuhan wilayah adalah jelas.

Sementara itu, Trump menyifatkan lawatan negara Xi ke AS kali ini sebagai satu lawatan yang hebat.

Beliau berkata AS dan China merupakan dua kuasa besar, manakala beliau dan Xi mempunyai hubungan baik serta mengekalkan komunikasi rapat.

“Di bawah kepimpinan kami, hubungan AS-China pasti dapat diuruskan dengan baik,” kata Trump.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai situasi di Asia Barat, krisis Ukraine, Semenanjung Korea serta isu antarabangsa dan serantau lain.

Xi dan Trump juga mengesahkan bahawa kedua-dua negara akan saling menyokong dalam penganjuran Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin APEC 2026 dan Sidang Kemuncak G20.

-- BERNAMA-CMG

 

Must Watch Video

Advertisement