Perdana Menteri sementara Thailand Yingluck Shinawatra dan anggota Kabinetnya mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu untuk membincangkan pilihan raya umum negara ini yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua SPR Supachai Somcharoen berkata pertemuan itu, yang pertama antara Yingluck dan SPR, bertujuan membincangkan mengenai hasil mesyuarat parti-parti politik dengan suruhanjaya itu minggu lepas.

Pada mulanya pertemuan itu dijadualkan di pejabat SPR di Kompleks Kerajaan tetapi venue itu ditukarkan ke Akademi Tentera Udara Diraja Thailand berikutan kebimbangan mengenai keselamatan selepas para penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun berdekatan pejabat SPR.

SPR sedang membuat persediaan menyeluruh bagi memastikan kelancaran pilihan raya umum itu, yang diadakan bagi menggantikan pilihan raya pada 2 Feb lepas setelah diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan.

SPR mencadangkan tiga tarikh - 20 Julai, 17 Ogos dan 14 September 14 - bagi mengadakan pilihan raya itu tetapi parti-parti politik masih belum memutuskan tarikhnya.

Dengan partu-parti kecil dan parti memerintah, Pheu Thai, menyokong supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin, Parti Demokrat pembangkang bersama-sama dengan para penunjuk perasaan antikerajaan menuntut supaya perubahan dilakukan terlebih dahulu, yang boleh melewatkan pilihan raya itu.

Wakil Parti Demokrat tidak menghadiri mesyuarat itu minggu lepas, dan menjadikan isu keselamatan sebagai alasan beliau tidak hadir.

Kelompangan politik di Thailand telah menyebabkan negara ini rugi besar dengan sesetengah pihak menganggarkan kerugian eksport berpotensi mencecah AS$16 bilion tahun ini.

Jika konflik ini berterusan sehingga penghujung tahun, Thailand mungkin tidak dapat mencapai sasaran pertumbuhan eksportnya sebanyak lima peratus dan boleh berdepan penguncupan ekonomi.