KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menjangkakan rundingan dengan Rusia bagi menamatkan perang akan diteruskan di Switzerland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Oleh kerana perang sedang berlaku di Eropah, rundingan juga mesti diadakan di benua itu, kata Zelensky dalam temu bual bersama wartawan Britain, Piers Morgan yang disiarkan pada Khamis.
Advertisement
“Saya hanya mahu menegaskan yang pertemuan seterusnya juga akan diadakan di Switzerland,” kata Zelensky selepas rundingan di Geneva pada Selasa dan Rabu.
Rusia setakat ini belum mengesahkan lokasi atau tarikh. Zelensky sebelum ini mengkritik hasil rundingan di Geneva dan Amerika Syarikat menjadi pengantara sebagai tidak mencukupi dan menggesa agar ia diteruskan bulan ini.
Zelensky turut menyatakan yang Ukraine menghargai Emiriah Arab Bersatu sebagai rakan kongsi. Rundingan pada peringkat awal diadakan di Abu Dhabi pada Januari dan awal Februari. Bagaimanapun, dalam kenyataan temu bual yang disiarkan di saluran Telegramnya, beliau menegaskan mahu wakil Eropah terlibat dalam pusingan rundingan seterusnya.
Zelensky menyifatkan perbincangan mengenai peranan Eropah sebagai “sukar”. “Bagi kami, peranan pihak Eropah adalah penting,” tegasnya.
Rusia melihat negara Eropah sebagai pihak yang terlibat dalam peperangan dan oleh itu menentang penyertaan mereka dalam rundingan. Sebaliknya, Zelensky berkata: “Sekali lagi, saya menegaskan yang saya fikir kita juga memerlukan wakil Eropah.”
Beliau mengulangi yang walaupun tidak mempercayai Presiden Rusia, Vladimir Putin, beliau mahu bertemu dengannya bagi menamatkan perang dengan segera.
Dari segi ketenteraan, isu pemantauan kemungkinan gencatan senjata pada masa hadapan turut diperjelaskan semasa rundingan itu. Amerika Syarikat berperanan utama dalam memantau keadaan, kata Zelensky, tanpa memberikan butiran lanjut.
-- BERNAMA-DPA