INTERNATIONAL
Zoo dikecam 'make-up' cimpanzi seperti kanak-kanak perempuan

Seekor anak cimpanzi yang tular selepas pihak zoo mendandannya dengan pakaian gadis kecil di wilayah Henan, China. - Gambar/ Agensi
SEBUAH zoo di tengah China mencetuskan kontroversi dalam talian selepas menggayakan seekor anak cimpanzi seperti seorang kanak-kanak perempuan.
Cimpanzi yang berusia lapan bulan, dikenali sebagai Qixi, dilahirkan dan dibesarkan di Hesheng Forest Zoo di Qinyang, Wilayah Henan.
Namun, Qixi telah mencuri perhatian ramai pengunjung yang menganggapnya comel dan gemar berinteraksi dengan pengunjung selain pandai berinteraksi seakan-akan bayi manusia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, klip video cimpanzi betina itu yang mengenakan pakaian kanak-kanak perempuan dan rambutnya yang disisir kemas, telah menjadi viral di media sosial di China.Cimpanzi itu sering dilihat di dalam buaian dan ditabur banyak mainan, atau duduk di dalam kereta sorong sambil memegang puting getah di mulutnya.
Malah ada segelintir pengunjung turut menggenggam tangan atau menggendongnya untuk mengambil gambar.
Namun, tindakan zoo tersebut mengundang kritikan oleh pakar haiwan yang mendakwa bahawa perbuatan itu berpotensi memberi kesan negatif kepada kesihatan mental haiwan tersebut.
Sun Quanhui, seorang saintis dari badan amal perlindungan haiwan World Animal Protection China, berkata bahawa pakaian yang diberikan kepada cimpanzi itu boleh mengganggu keupayaannya untuk mengawal suhu badan secara semula jadi.
“Cimpanzi adalah haiwan yang lebih cenderung hidup dalam kumpulan, dan membiarkannya hidup sendirian boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mentalnya,” katanya.
Menurut Sun, tindakan zoo untuk mendandani haiwan itu dan membiarkannya berinteraksi dengan pengunjung secara kerap boleh memberi gambaran bahawa haiwan-haiwan ini hanya untuk hiburan semata-mata.
Seorang penjaga haiwan di zoo Henan pula menjelaskan bahawa mereka hanya ingin menjaga Qixi dengan pakaian untuk memastikan ia sentiasa panas dan menyisir rambutnya kerana ia terlalu panjang sehingga menutup matanya.
“Tetapi, kami juga membawa Qixi keluar untuk berjemur di bawah matahari. Semasa berinteraksi dengan pengunjung, kami akan menggunakan disinfektan untuk membersihkan mereka.
"Kami juga memandikan Qixi setiap dua hari sekali. Jadi, jangan risau, ia dijaga dengan baik,” katanya.
Kisah ini mendapat perhatian ramai di media sosial China, dengan ada yang menyatakan sokongan terhadap tindakan zoo tersebut, namun turut menekankan bahawa kesejahteraan mental haiwan tersebut tidak boleh diabaikan. - Sinar Harian memetik agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami