Sehingga 2 Oktober 2017, filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) yang dipersembahkan oleh Astro Shaw dan Skop Productions telah mencatat kutipan tiket sebanyak RM17.9 juta sekali gus menjadi filem tempatan nombor satu paling laris di Malaysia.

Jumlah itu dikutip dalam tempoh 39 hari di pawagam sejak ia ditayangkan pada 24 Ogos yang lalu, dan sehingga kini, ALF2 masih ditayangkan di 77 pawagam tanah air.

BACA: Baru dua minggu ditayangkan, 'Abang Long Fadil 2' raih kutipan RM13 juta

BACA: ALF 2: 13 hari dah RM13 juta, apa kata Syafiq Yusof

Sebelum ini, rekod kutipan tiket paling tinggi pernah dipegang oleh filem ‘Polis Evo’ dengan kutipan RM17.8 juta pada tahun 2015 serta filem ‘The Journey’ dengan kutipan RM 17.28 juta pada tahun 2014 yang juga merupakan filem terbitan Astro Shaw.

Filem ALF2 yang diarahkan oleh Syafiq Yusof ini membariskan pelakon hebat tanah air seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, Achey (Bocey), Shuib (Sepahtu), Tania Hudson, A Galak, Mas Khan dan ramai lagi.

ALF2 merupakan filem bergenre aksi komedi yang memaparkan kisah perjalan hidup Fadil yang terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang pembunuh upahan walaupun dia bukanlah seorang pembunuh.