Penyanyi Malaysia yang kini sedang mencipta nama di Amerika Syarikat Yuna mempunyai sebab tertentu mengapa mengambil tindakan untuk ‘block’ segelintir peminat di laman media sosialnya.

Pemilik nama Yunalis Zarai ini berkata beliau tidak mahu orang luar berfikir peminatnya di Malaysia sering bergaduh diantara satu sama lain.

“Saya kini ‘block’ mereka agar bahagian komen saya bersih. Saya mahu mengekalkan imej (positif) orang Malaysia. Saya tidak mahu orang luar berfikir peminat saya di sini sering bergaduh,” kata Yuna dalam program bual bicara Obviously Harith Iskander yang disiarkan pada malam Sabtu.

BACA: Yuna 'sekolahkan' remaja yang tegur pakaiannya di Instagram

Ditanya tentang kolaborasi beliau bersama Usher dalam lagu ‘Crush’ yang kini begitu popular, Yuna akui beliau pada awalnya ragu-ragu dengan keputusan untuk menjemput penyanyi antarabangsa itu.

“Saya ada tertanya-tanya jika ia merupakan satu keputusan yang tepat. Banyak soalan di minda saya seperti macamana jika saya tidak suka hasilnya. Namun saya dengar lagu itu kembali dan ia begitu bagus,” katanya.

Yuna dan Tan Sri Wahid Omar dalam program 'Obviously Harith Iskander'

Sementara itu, rancangan Obviously Harith Iskander turut mengundang bekas menteri kabinet Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau yang pernah menerajui beberapa syarikat korporat sebelum memasuki bidang politik berkongsi pengalamannya memandu perkhidmatan perkongsian kereta Uber setelah membuat keputusan untuk tidak meneruskan tempoh perkhidmatan sebagai Senator pada Jun.

BACA: Wahid Omar berikan sebab beliau jadi pemandu Uber

“Saya memandu Uber untuk tiga hari. Ia sepatutnya acara peribadi namun salah satu pemandu merakam selfie bersama saya dan memuat naik di media sosial dan kemudian ia menjadi viral.

“Ia sangat menyeronokkan dan saya sebelum ini memang teringin untuk mencuba memandu Uber," kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Rancangan Obviously Harith Iskander bersiaran setiap Sabtu, jam 9.30 malam di saluran Astro AWANI.