KUALA LUMPUR: HONOR mengumumkan dua robot humanoid keluarannya, A1 dan D1, akan dibawa ke Malaysia bagi menyertai Malaysia Marathon 2026 serta sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya hujung bulan ini.
Kedua-dua robot berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu dijadualkan mengambil bahagian dalam acara larian berkenaan pada 30 Ogos sebelum menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Perkembangan itu menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama di luar China yang menjadi lokasi penampilan awam robot humanoid HONOR.
Sebelum ini, robot D1 mencuri perhatian selepas menjuarai Beijing E-Town Humanoid Robot Half-Marathon pada April lalu, sekali gus menunjukkan keupayaannya dalam aspek mobiliti dan ketahanan.
Bagi Malaysia Marathon 2026, D1 akan menyertai kategori 10 kilometer bermula dari Pavilion Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah malam, manakala A1 akan mengambil bahagian dalam kategori 5km yang bermula dari KLCC pada pukul 7.30 pagi.
Menurut HONOR, penyertaan D1 dalam acara 10km itu bertujuan menguji keupayaan kelajuan, kestabilan dan pergerakannya dalam persekitaran sebenar.
Selepas tamat acara larian, kedua-dua robot itu akan dibawa ke Dataran Putrajaya untuk menyertai kontinjen sambutan Hari Kebangsaan 2026.
HONOR berkata penyertaan itu juga menjadikannya jenama telefon pintar pertama yang mengambil bahagian sebagai kontinjen rasmi dalam perarakan Hari Kebangsaan Malaysia.
Orang ramai turut berpeluang melihat robot berkenaan dari dekat menerusi ruang pameran HONOR yang akan dibuka sepanjang acara di Kuala Lumpur dan Putrajaya.