KULIM: Seorang pemandu lori tangki ditemui tidak sedarkan diri ketika berhenti di lampu isyarat di hadapan Kilang Lam Research, Jalan Hi-Tech 12, di sini Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.46 petang itu, mangsa, Abdul Haris Maulana, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi panggilan NG999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Kulim Hi-Tech dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam lori tangki ketika menunggu lampu isyarat.
"Siasatan awal mendapati seorang pengguna jalan raya cuba menghampiri lori berkenaan selepas mendapati mangsa tidak bergerak.
"Pemaklum cuba mengejutkan mangsa, namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum dia menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Syamsul berkata, berdasarkan maklumat pemaklum, lori tangki berkenaan dipercayai sudah berada di lokasi kira-kira 30 minit sebelum mangsa disedari tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal luaran terhadap mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah.
"Anak lelaki mangsa turut memaklumkan bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik iaitu darah tinggi dan kolesterol," katanya.
Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Hospital Kulim bermula jam 10.30 malam pada Selasa dan selesai pada jam 12.50 tengah malam Rabu.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah sakit jantung disebabkan saluran darah tersumbat. -Sinar Harian