Skip to main content

Malaysia

Polis buru individu tabur paku di Jejambat Cybersouth

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang anggota polis mengutip paku yang ditabur pihak tidak bertanggungjawab di Jejambat Cybersouth. -Foto Sinar Harian
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang anggota polis mengutip paku yang ditabur pihak tidak bertanggungjawab di Jejambat Cybersouth. -Foto Sinar Harian

Advertisement

SEPANG: Polis sedang mengesan individu yang dipercayai berulang kali menabur paku di atas Jejambat Cybersouth, di sini, sehingga mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan pertama berkaitan kejadian itu pada Rabu lalu.

Menurutnya, satu lagi maklumat diterima melalui emel pada hari sama dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan menabur paku di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan kepada orang awam.

Katanya, polis turut menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan jejambat berkenaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.

“Setakat ini, kita masih berusaha mengenal pasti individu yang terlibat dalam perbuatan menabur paku di lokasi berkenaan," kata Norhizam.

Beliau berkata demikian selepas selepas menghadiri Program Flag-Off Konvoi Kenderaan sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil pada Khamis.

Norhizam berkata, anggota Balai Polis Dengkil baru-baru ini turut menemukan dan mengutip sejumlah paku yang dipercayai ditabur di kawasan tersebut.

Beliau berkata, tindakan itu amat membimbangkan kerana boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal.

Katanya, polis akan terus mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjamin keselamatan orang awam di kawasan Sepang.

“Kita menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini supaya segera menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Norhizam berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang turut memberi perhatian terhadap kegiatan penunggang motosikal yang didakwa mengganggu ketenteraman awam pada awal pagi.

Menurutnya, kegiatan berkenaan dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Salak Perdana dan maklumat mengenainya sudah diterima pihak polis.

Beliau berkata tindakan awal telah dilaksanakan termasuk meningkatkan rondaan oleh anggota trafik di kawasan terbabit. Langkah  itu penting bagi membendung sebarang aktiviti yang boleh mengganggu penduduk serta

“Kita berharap ibu bapa turut memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak keluar dan berkeliaran pada awal pagi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Norhizam berkata mana-mana penunggang motosikal yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, katanya, polis juga tidak menolak kemungkinan menjalankan siasatan lanjut membabitkan ibu bapa sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam mengawasi anak-anak mereka.

Must Watch Video

Advertisement