SHAH ALAM: Peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Naqiu berulang kali memohon maaf kepada semua penonton yang kurang senang dengan aksi 'terlebih mesra' bersama rakan duetnya, Misha Omar ketika membuat persembahan di pentas GV pada Ahad. 

Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, memohon agar meletakkan segala kesalahan itu ke atas dirinya dan bukan kepada mana-mana pihak lain termasuk Misha. 

"Saya ingin minta maaf sebab ini menyentuh sensitif, saya memang ambil tanggungjawab dan saya ambil segala kesalahan itu, letak pada saya, InshaAllah saya cuba memastikan perkara itu tidak berulang.

"Jangan letak kesalahan itu pada partner saya (pasangan duet) ataupun sesiapa, ini bukan mencari publisiti, itu adalah kesalahan saya sendiri, saya minta maaf kepada anda yang menonton, yang terasa, saya minta maaf," katanya kepada media. 

Pada masa sama, Naqiu juga memberitahu, dia sempat berhubung dengan isterinya selepas selesai persembahan dan isterinya memintanya untuk bersedia dengan kritikan yang akan diterimanya selain menasihatinya agar jangan patah semangat untuk terus bertanding.

"Saya ada hubungi dia, sebenarnya dia ada datang.. dan dia kata dia okay cuma minta saya bersedia dengan kritikan kecaman namun dia akan tetap bersama saya dan akan memekakkan telinganya," ujarnya.

Juara Gegar Vaganza musim keenam itu juga memaklumkan, berjumpa dengan Misha selepas tamat persembahan namun enggan berkongsi apa yang diperkatakan.

Naqiu menyampaikan lagu Aku dan Dirimu bersama Misha Omar pada konsert keempat ASGV yang bertema berdua bersatu. 

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse All Stars Gegar Vaganza berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam.