V atau nama asalnya Kim Taehyung merupakan anggota terbaharu BTS yang disahkan positif COVID-19.

Berita itu disahkan oleh label Big Hit Music, yang mendedahkan bahawa V mendapatkan rawatan di hospital pada pagi Selasa (15 Feb) selepas mengalami sakit tekak, dan ujian PCR mengesahkan dia positif COVID-19.

“V telah lengkap divaksin dan tidak menunjukkan sebarang gejala luar biasa selain demam ringan dan sakit tekak. Dia kini sedang menjalani rawatan di rumah sementara menunggu garis panduan lanjut daripada pihak berkuasa kesihatan.

“Anggota BTS yang lain juga merupakan kontak rapat V kerana mereka berjumpa pada Sabtu lalu, tetapi semua lengkap memakai pelitup muka. Mereka tidak menunjukkan sebarang simptom, dan ujian kendiri juga menunjukkan mereka negatif," kata kenyataan yang disiarkan kepada Weverse.

Perkembangan itu hadir selepas tiga anggota BTS, RM, Jin dan Suga disahkan positif COVID dan pulih pada Disember.

Seorang lagi anggota, Jimin, telah dibenarkan keluar dari hospital pada 5 Februari selepas dimasukkan ke hospital pada 30 Januari kerana sakit perut dan sakit tekak yang ringan.

Dia menjalani pembedahan apendisitis akut pada 31 Januari dan dalam masa yang sama disahkan positif COVID-19.

"Syarikat meletakkan kesihatan artis sebagai keutamaan dan kami akan melakukan segala yang mampu untuk membantu V agar segera pulih. Kami juga akan bekerjasama dan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa," kenyataan itu menambah.