HIBURAN
Astro angkat karya tempatan pelbagai bahasa menerusi Hello Inilah Kita: Home of Drama

Inisiatif Astro ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah untuk meraikan naskhah tempatan merentas bahasa dan budaya, sekali gus menonjolkan kekayaan naratif rakyat Malaysia. - Gambar Astro
KUALA LUMPUR: Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kandungan tempatan menerusi kempen Hello Inilah Kita: Home of Drama, yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur selaku rakan pentas dan penaja lokasi rasmi.
Berlangsung bersempena sambutan bulan Kemerdekaan ke-68, inisiatif ini bukan sekadar acara hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah untuk meraikan naskhah tempatan merentas bahasa dan budaya, sekali gus menonjolkan kekayaan naratif rakyat Malaysia.
Menurut Penolong Kanan Naib Presiden Kumpulan Pemasaran Astro, Ezura Shazween Kamal Bahrin, kandungan drama yang diterbitkan sempena kempen ini menampilkan karya dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil yang semuanya dihasilkan oleh tenaga tempatan yang dekat dengan realiti masyarakat.
“Kesemua cerita yang kita tayangkan itu relevan dan benar-benar resonates dengan masyarakat. Ada yang menjadi perbualan di media sosial, malah dibincangkan dalam rancangan bual bicara dan podcast,” jelasnya.Tambah Ezura, kejayaan sesebuah naskhah bukan hanya bergantung kepada pelakon, malah turut didukung oleh kualiti produksi dan sokongan padu penonton.
“Kejayaan sesebuah karya adalah hasil titik peluh semua pihak, baik di depan mahupun di belakang skrin. Namun saingan daripada naskhah luar juga cukup hebat, jadi sokongan penonton Malaysia amat diperlukan,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan penaja seperti Pavilion Kuala Lumpur yang menyediakan ruang eksklusif dan interaktif untuk mempersembahkan karya kepada khalayak umum.

Barisa pelakon Thariq Ridzuwan: His Treasure turut membuat penampilan istimewa di pentas utama bagi meraikan para peminat yang hadir. - Gambar Astro
Antara naskhah yang mencuri perhatian ialah Thariq Ridzuwan: His Treasure, sebuah karya yang mengangkat semangat perpaduan serta perjuangan anggota keselamatan negara.
Menurut pelakon utamanya, Qasrina Karim, karya sebegini membawa nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar hiburan semata.
“Bila kita teliti intipati cerita-cerita ini, semuanya ada pengajaran. Contohnya dalam Thariq Ridzuwan, ia menonjolkan semangat perpaduan dan mengangkat pengorbanan pasukan khas kita yang berjuang dalam senyap demi kehormatan negara,” ujarnya.
Kempen Hello Inilah Kita: Home of Drama yang pertama kali diadakan ini berlangsung selama dua hari, dan bakal melabuhkan tirai malam ini dengan kehadiran pelakon Astro Originals Step Dave, barisan penyanyi popular GV seperti Suki Low, Hael Husaini dan ramai lagi.
Inisiatif istimewa ini yang mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan turut menjadi kesinambungan kepada showcase pertama yang diadakan pada 7 Ogos lalu.

Ribuan peminat membanjiri perkarangan Pavilion Kuala Lumpur bagi meraikan karya tempatan dalam kempen Hello Inilah Kita: Home of Drama anjuran Astro. - Gambar Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami