Astro telah menambah dua saluran Korea Berdefinisi Tinggi (HD), iaiatu saluran Oh!K HD (saluran 394) dan saluran Channel M HD (saluran 395) khas bagi penonton yang meminati rancangan hiburan dari negara itu.

Naib Pengerusi Kumpulan Pengurusan Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, sebagai peneraju saluran Korea 24 jam, penonton kini dapat menonton lebih banyak rancangan hiburan dari Korea.

Kedua-dua saluran itu akan menjadi sebahagian daripada pakej baharu iaitu Korean Pack yang berharga RM10 sebulan bermula hari ini.

"Saluran Oh!K dan saluran Channel M HD juga akan turut menyiarkan rancangan terbaharu hanya beberapa jam selepas siarannya di Korea.

“Kami yakin bahawa saluran-saluran HD baru ini akan diterima dengan baik oleh pelanggan-pelanggan kami," kata Agnes.
Saluran Oh!K HD membawa drama siri premium, rancangan variati dan program muzik oleh penyiar Korea, MBC, dengan tajuk drama seperti, 'Shine or Go Crazy', yang disiarkan pada hari yang sama seperti di Korea; 'Rosy Lovers' dan 'Four Legendary Witches’.

Rancangan ‘Shine or Go Crazy’ yang disiarkan di saluran Oh!K HD. - Astro AWANI

Sementara itu, saluran Channel M HD pula adalah saluran yang menyeluruh, dan menyediakan pelbagai jenis kandungan termasuk drama, K-pop, variati, program realiti dan gaya hidup untuk menghiburkan penonton dari semua peringkat umur dan gaya hidup.

Rancangan ‘The Genius’ yang disiarkan di saluran Channel M HD. - Astro AWANI

Penonton turut disediakan dengan pilihan sari kata daripada Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.

Pilihan audio juga disediakan dalam Bahasa Korea, dan program terpilih yang dialih bahasa dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Malaysia.

Kedua-dua saluran itu juga boleh didapati melalui Astro On-The-Go bagi membolehkan penonton untuk memilih skrin sama ada di televisyen, dalam talian atau di telefon bimbit.