Pihak Astro mengesahkan telah menerima notis daripada waris AR Tompel yang menggesa filem Saloma Biopic yang sedang bersiaran di Astro First, dihentikan.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh memberitahu pihak Astro kini sedang meneliti notis yang dihantar waris Allahyarham.

“Pihak kami sedang meneliti notis tersebut sebelum memberi respon yang selanjutnya. Sebelum ini, kami tidak memberi maklumbalas segera (seperti yang didakwa Adlin Aman Ramlie) kerana perkara seumpama itu prosesnya mengambil masa,” katanya kepada Astro Gempak pada Rabu.

Mengulas mengenai sidang media yang akan diadakan waris Allahyarham AR Tompel petang ini (Khamis), Khairul Anwar berkata pihaknya ada terdengar tentang perkara itu.

“Saya tidak boleh memberi komen tentang perkara tersebut. Bagaimanapun Astro akan bertemu dengan pengarah Saloma Biopic, Melissa Saila dan berbincang mengenai perkara ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, buat masa ini Saloma Biopic masih ditayangkan seperti biasa.

“Ketika ini, penyiaran Saloma Biopic masih lagi diteruskan. Semenjak ditayangkan, Saloma Biopic mendapat sambutan menggalakkan dan ramai penonton memberi maklumbalas yang mereka rasa terhibur menonton Saloma Biopic di saluran Astro First,” katanya ketika ditemui di prebiu filem televisyen, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya di GSC Signature, The Gardens Mid Valley pada Rabu.

Terdahulu, pelakon Adlinelah meluahkan kekesalannya kerana merasakan filem Saloma Biopic yang ditayangkan di Astro First seolah-olah memburuk-burukkan watak Allahyarham bapanya, AR Tompel.

Adlin juga mendakwa kebanyakan kisah yang dipaparkan mengenai bapanya berunsur tohmahan selain terdapat banyak kesalahan fakta yang boleh menjejaskan nilai murni masyarakat terhadap Arwah.

Perkara tersebut juga katanya, seperti ingin menunjukkan arwah menjadi punca kepada penderitaan Saloma.

Adlin dan waris keluarga Arwah AR Tompel bakal mengadakan satu sidang media untuk membincangkan mengenai perkara tersebut yang akan diadakan di Panggung P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada jam 3.00 petang hari ini.

Sidang media itu bakal disertai oleh waris Allahyarham AR Tompel termasuk anak-anak Arwah, pengarah AR Badul, pelakon Amran Tompel serta dua isteri arwah, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail.

Filem Saloma Biopik diterbitkan oleh Kus Semangat Aktor Sdn Bhd dan ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 28 Ogos lalu. Selain Azhan Rani yang membawakan watak sebagai AR Tompel dalam ‘Saloma Biopik filem itu dilakonkan oleh Nabila Huda, Tony Eusof, Sazzy Falak, Hasnul Rahmat, Julia Ziegler, Sharifah Amani dan ramai lagi.