Pembangunan industri kandungan negara memerlukan pengurus dana yang cekap dan mampu mewujudkan ekosistem yang mapan.

Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, pertemuaannya bersama Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) pada Isnin menjurus kepada usaha untuk menjadikan industri berkenaan lebih lestari.

“Selepas lebih 10 tahun dalam industri ini, ada perkara yang kurang baik, malah pencapaian pun tidaklah memberansangkan.

“Saya mencadangkan kepada MPK agar modal bantuan ditambah baik terutamanya membabitkan pengurus dana.

“Jangan anggap dia pandai, kerana industri animasi ini besar dan apa yang kami buat hanyalah sebahagian daripada model perniagaan membabitkan harta intelek,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat MPK, di sini hari ini.

Jelasnya, perkara penting yang memerlukan sokongan kerajaan daam industri kandungan animasi ialah membabitkan pembangunan sumber manusia memandangkan ia membabitkan kos yng tinggi.

“Tapi kita perlukan orang yang betul-betul tulen, jangan cerita nak ambil geran saja lepas tu satu benda pun takda,” jelasnya lagi.

Kata Burhanuddin, pengurusan dana yang optimum mampu melonjakkan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami banyak bergerak atas dana sendiri dan Indonesia merupakan pasaran yang paling stabil setakat ini.

“Sekarang kami cuba tembus pasaran China untuk bawa filem terbaharu Upin Ipin ke sana.

“Malah, idea mewujudkan taman tema Upin Ipin mampu direalisasikan selepas ia berjaya mendapat perhatian MPK memandangkan ia mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.