KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI sedang dirangka bagi memperkukuh keselamatan dan akauntabiliti ekosistem kecerdasan buatan, susulan risiko teknologi berautonomi serta ancaman penyamaran identiti.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah itu wajar bagi mendepani potensi sistem AI bertindak bertentangan dengan arahan manusia selain mengelak daripada dihentikan fungsinya.
"Kerajaan menyedari risiko AI berautonomi, termasuk tindakan sistem yang tidak selaras dengan arahan manusia dan mengelak daripada dimatikan, sepertimana yang telah dilaporkan Anthropic.
“Risiko ini memerlukan pengukuhan etika dan keselamatan AI bagi memelihara kedaulatan negara," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata RUU berkenaan juga memberi tumpuan khusus kepada isu penyamaran identiti dan maklumat palsu yang sukar dikesan serta ditentukan akauntabilitinya.
Bagi menyokong perundangan itu, inisiatif teknikal MY-AISafe, Kod Etika AI (AICE) dan Platform MY-AI Standards dibangunkan sebagai panduan serta pengujian keselamatan teknologi berkenaan.
Menyentuh aspek kedaulatan data, Gobind memaklumkan pembangunan Awan AI Berdaulat turut dirancang di bawah Belanjawan 2027 bagi memastikan maklumat strategik negara kekal terpelihara.
"Konsep kedaulatan data perlu dilihat secara pragmatik dan strategik, dengan memberikan penekanan kepada kawalan yang bermakna, munasabah dan berkadar berdasarkan risiko serta kepentingan negara.
"Oleh itu, pendekatan Kementerian Digital adalah untuk melindungi keselamatan data dan kepentingan rakyat, di samping memastikan Malaysia terus terbuka kepada perdagangan antarabangsa, kerjasama rentas sempadan dan inovasi teknologi," katanya.
Terdahulu, menjawab celahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) berhubung keperluan memupuk kesedaran risiko AI di peringkat sekolah rendah dan menengah, Gobind berkata kementeriannya bersedia bekerjasama merentas kementerian untuk menyelaraskan modul pembelajaran berkaitan.
Beliau berkata penubuhan entiti seperti AI Malaysia amat penting bagi menyediakan kepakaran khusus dalam mengukur keberkesanan serta risiko teknologi yang berkembang pantas.
"Itu sebab kita memastikan AI Malaysia ditubuhkan dan Kementerian Digital menjadi peneraju yang membawa bersama semua kementerian. Sekiranya kita perlu melihat kepada modul pembelajaran di sekolah rendah, sekolah menengah ataupun institut pengajian tinggi, di situlah perbincangan akan dimulakan," katanya.
-- BERNAMA